Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PH sokong Mahathir, tiada isu undi tak percaya, kata Azmin
Diterbitkan:  Mar 12, 2019 2:15 PM
Dikemaskini: 8:46 AM
PARLIMEN l Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata tidak timbul isu undi tidak percaya terhadap Tun Mahathir Mohamad kerana Pakatan Harapan (PH) menyokong kuat beliau sebagai perdana menteri."Tidak timbul isu undi tidak percaya. Hari ini kita Pakatan Harapan  telah menekankan untuk memberi sokongan yang kuat dan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad,” katanya menjawab soalan tambahan Annuar Musa (BN-Ketereh) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, turut menegaskan tidak wujud masalah menteri gagal menjalankan tugas kerana mereka bekerja secara kolektif bagi membentuk dasar yang lebih responsif kepada rakyat.

“Dalam jemaah menteri kabinet kita bincang secara bersama dan muafakat kerana muafakat itulah yang telah membawa kejayaan,” katanya.

Beliau berkata selain itu, kerajaan juga menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di luar kerajaan bagi mendapat pandangan daripada pakar dan tokoh akademik.

Katanya kerajaan juga berusaha mendengar pandangan, khususnya daripada golongan swasta dan akademik, agar pembentukan sesuatu dasar dapat dibuat secara seimbang.

"Kita buat kerja secara kolektif, secara bersama. Kita mengambil sikap yang inklusif, kita ambil sikap pandangan semua dalam membentuk satu dasar yang lebih responsif kepada masalah rakyat. Kita (kerajaan) bukan eksklusif macam Umno dan Barisan Nasional," katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin menjawab soalan asal Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang bertanya mengenai rasional penubuhan MTEN sedangkan sebelum ini kerajaan telah menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang membawa pembentukan kabinet yang sedang berfungsi sekarang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS