Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK RANTAU | Calon PH bagi pilhan raya kecil (PRK) Rantau Dr S Streram menafikan dakwaan yang disebarkan di media sosial yang mengatakan beliau meminta orang ramai menajanya untuk bertanding di PRK berkenaan.

Jelas Streram, mesej infografik yang tersebar di media sosial sejak semalam itu bertujuan memburukkan namanya.

"Ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja hendak memburukkan nama baik saya selepas saya dicalonkan semula untuk PRK DUN Rantau.

"Saya kecewa dengan anasir-anasir yang menggunakan media sosial untuk menyebar fitnah dan maklumat palsu yang boleh mempesongkan minda pengundi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesej infografik disebarkan di media sosial itu mendakwa Streram meminta orang ramai menajanya untuk bertanding dalam PRK Rantau yang diadakan pada 13 April depan.

Streram yang juga merupakan timbalan ketua Cabang PKR Rembau meminta orang ramai agar jangan terpedaya dengan berita palsu seumpamanya terutamanya pada musim pilihan raya.

Thangam tak kecil hati

Dalam satu perkembangan lain, Ketua Cabang PKR Rembau R Thangam berkata bahawa beliau tidak kecil hati selepas tidak dipilih sebagai calon PH di PRK Rantau.

Sebaliknya, beliau menegaskan akan berjuang berhabis-habisan bagi kemenangan PH di Rantau.

"Tiada apa untuk mengadu berkenaan pemilihan calon. Keputusan pucuk pimpinan mesti tepat (pilih Streram). Yang penting sekarang adalah kemenangan PH," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Thangam turut menegaskan bahawa kepentingan parti perlu diutamakan berbanding isu dalaman.

"Saya di PKR sejak 1999. Bagi saya parti lebih penting berbanding isu-isu dalaman," ujarnya.

Katanya, selepas pucuk pimpinan mengumumkan Streram sebagai calon PH di Rantau, beliau telah pun memanggil AJK cabang Rembau bagi satu mesyuarat.

"Yang penting sekarang adalah kemenangan PH. Kita sudah kalah di dua tempat (Cameron Highlands dan Semenyih). Maka, DUN Rantau sangat penting bagi kita (PH)," tegasnya.


Lihat Komen
ADS