Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Raja bunian enggan turun takhta' walau bakal didakwa
Diterbitkan:  Mar 12, 2019 3:39 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai raja bunian berkata dia tetap enggan "turun dari takhta" meskipun selepas ditahan oleh Jabatan Agama Islam Terengganu (JHEAT).

Lelaki berusia 34 tahun yang menggelarkan dirinya sebagai Raja Muda Abdul Aziz itu berkata pihaknya perlu berbincang dengan "pembesar dalam kalangan jin" sebelum mengambil keputusan meletak jawatan.

Menurut Ketua Penguatkuasa JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail, suspek yang sebelum ini disyaki menjalankan aktiviti ajaran yang meragukan di Dungun, Terengganu itu ditahan pada Ahad dan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin.

Nik Suhaiza berkata suspek akan didakwa pada 28 Julai ini mengikut Seksyen 6 Akta Syariah Jenayah Takzir Terengganu 2001 kerana membuat dakwaan palsu.

"Perisytiharan adalah palsu dan berlawanan dengan ajaran Islam maka dikira satu kesalahan dan mahkamah boleh mendenda RM3,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Suspek yang mendakwa dirinya mewakili seluruh warga jin di alam ini berkata pelantikannya itu telah mendapat perkenan dari empat sahabat Rasulullah yang menurutnya, ditemui secara sedar ketika dia berada di surau di Bukit Bauk.

Dia telah menetap di surau tersebut sejak enam bulan lalu.

Pihak polis merampas sebatang kayu mimbar yang dibalut dengan kain kuning dan putih dan dua buah batu nisan ketika rampasan dilakukan.

Turut dirampas pelbagai barangan seperti sofa yang dijadikan sebagai kerusi takhta, kitab dan beberapa barangan lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS