Kerajaan membawa masuk 13 buah lori tangki milik pengendali air daripada luar Kedah bagi membantu menyelesaikan masalah air di negeri itu.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar berkata tindakan itu diselaraskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi membantu Syarikat Air Darul Aman (SADA).

“Kementerian juga meminta supaya kerajaan negeri dan operator air di semua negeri supaya memantau rapi kedudukan sumber di empangan-empangan dan sungai-sungai yang membekalkan sumber air mentah ke loji-loji rawatan air di negeri masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, Merbok dilanda krisis air susulan kemarau teruk.

Seramai 22,000 akaun penduduk terutama di Tanjung Dawai dilaporkan terjejas.

Dalam kenyataan hari ini, Xavier berkata lori-lori itu dibawa masuk dari Perak, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Selangor.

Beliau juga menasihatkan pengguna supaya tidak membazir sumber air.