Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri SA Vigneswaran hari ini sekali lagi meminta Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara meneliti cadangan supaya tempoh keanggotaan senator dipanjangkan kepada sekurang-kurangnya lima tahun.
Beliau berkata ini memandangkan tempoh tiga tahun bagi satu penggal yang diberikan kepada senator tidak mencukupi malah tempoh berkenaan juga dianggap sebagai tempoh pembelajaran untuk seseorang senator belajar mengenai pelbagai perkara termasuk dasar dan sistem kerajaan.
“Tempoh lebih tiga tahun itu bukan untuk kita meraih lebih pendapatan dan membazir duit rakyat. Seseorang yang menjadi ahli Yang Berhormat daripada peringkat negeri atau persekutuan, tempoh hingga tiga tahun ini dia tengah belajar.
“Lepas tiga tahun dah habis seseorang itu mungkin tidak disambung. Itu nasib dia, tapi semua pengalaman dia yang dia dapat sebagai seorang ahli Yang Berhormat atau senator, habis. Jadi kita melatih seseorang yang tidak membawa ‘pulangan pepaburan’ balik kepada rakyat,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas persidangan meja bulat reformasi Dewan Negara siri kedua di sini yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Speaker Dewan Senat Kanada George J Furey.
Beliau berkata selain itu juga, seseorang yang berkhidmat sebagai senator yang telah pun meninggalkan pekerjaan sebelum ini tidak layak mendapat pencen penuh sekiranya tempoh jawatan mereka terhad kepada tiga tahun.
“Tiga tahun dibagi supaya awak jangan buat bising, jangan tanya soalan. Kalau tanya soalan, buat bising, parti tersebut tidak akan memanjangkan tempoh perkhidmatan dia. Jadi pemikirkan ahli Yang Berhormat itu nak dapat pencen adalah lima tahun, jadi dia diam saja. Saya tidak bercakap mengenai memberi lanjutan kepada sesiapa... tak...kerana akhirnya rakyat yang menilai sama ada membazir atau memberi kebaikan.
“Sejajar dengan Malaysia Baharu, saya rasa ini masa yang tetap untuk membuat perubahan. Di Kanada, sistem yang mereka pakai ialah perlantikan oleh satu jawatankuasa yang bebas...bermakna jawatankuasa bebasa itu akan memilih dan memberi cadangan kepada perdana menteri. Pada masa sekarang kemungkinan belum boleh dilaksana di negara kita tapi apa yang boleh dilakukan ialah supaya seseorang yang mendapat jawatan senator itu bertungkus lumut menyuarakan isu rakyat,” katanya.
Pada masa ini, senator dilantik untuk tempoh tiga tahun bagi satu penggal, dan berkemungkinan disambung untuk tiga tahun lagi.
Sementara itu, Mohd Yusmadi berkata perkara itu akan dibincangkan dalam jawatankuasa berkenaan.
“Kami dalam proses mendapat maklum balas daripada pengalaman negara lain dan ada yang mengamalkan seumur hidup pun ada, ada yang 75 dan 10 tahun. Apa pun kami berpandangan yang penting ialah kepentingan rakyat dimana kami dapat menyumbang kepada rakyat melalui Dewan Negara dengan lebih efektif.
“Ada asas mengapa topik penggal seseorang senator itu perlu dibincangkan dan untuk peringkat ini kami belum memuktamadkan lagi tetapi itu satu perkara yang akan kami bincangkan,” katanya.
Mohd Yusmadi berkata persidangan meja bulat reformasi Dewan Negara siri kedua yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini akan mengumpulkan semua input bagi merangka syor-syor dalam laporan yang akan dikemukakan kepada kerajaan.
- Bernama
