Malaysia menjadi negara terbaru yang termasuk dalam senarai pihak berkuasa penerbangan yang menggantung operasi melibatkan Boeing 737 MAX 8.

Dalam kenyataan media hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ahmad Nizar Zolfakar berkata dua kapal terbang model itu terhempas dalam tempoh lima bulan.

"Bagi Malaysia, kita menjelaskan bahawa tiada pengendali penerbangan yang beroperasi dengan Boeing 737 MAX 8.

"CAAM, berkuat kuasa serta-merta, menggantung semua operasi kapal terbang Boeing 737 MAX 8 yang terbang ke Malaysia atau dari Malaysia, mahupun transit di negara ini, sehingga makluman lanjut," katanya.

Awal hari ini, Reuters melaporkan Singapura menggantung semua penerbangan Boeing 737 MAX yang merangkumi semua model, selepas kejadian kedua pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas ketika dalam perjalanan ke Nairobi semalam

Arahan itu dikenakan kepada syarikat penerbangan SilkAir yang dimiliki Singapura, China Southern Airlines, Garuda Indonesia, Shandong Airlines dan Thai Lion Air.

Untuk rekod, laman web Boeing menyatakan bahawa Malaysian Airlines mempunyai tempahan 25 Boeing 737 MAX pada Januari tahun ini.

Bagaimanapun, Boeing tidak menyatakan maklumat tentang varian model kapal terbang yang ditempah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali sebelum ini berkata Khazanah Nasional Bhd akan diarahkan untuk mengkaji semula pembelian kapal terbang itu yang dibuat MAS.

[Baca berita penuh]