Seorang pemimpin akar umbi PKR hari ini tampil menggesa MIC menyerahkan tiga ekar tanah yang didakwa asalnya milik sebuah sekolah Tamil di Petaling Jaya.

Timbalan Ketua Cabang PKR Tapah K Rama Chandran berkata dokumen-dokumen berkaitan menunjukkan sebuah syarikat pemaju telah memberikan enam ekar tanah bagi pembinaan SJKT Ldg Effingham.

"Namun, carian terbaru pada tahun 2006 menunjukkan tanah enam ekar tersebut dibahagi kepada dua plot masing-masing tiga ekar kepada sekolah dan tiga ekar bagi pembinaan bangunan ibu pejabat MIC," jelas beliau.

Tiga bekas pemimpin kanan MIC, termasuk bekas presidennya S Samy Vellu didakwa menjadi pemegang amanah kepada tanah itu.

Malaysiakini telah menghubungi pihak MIC dan sedang menunggu maklum balas parti itu.

Tampil dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Rama Chandran berkata carian di pejabat tanah juga mendapati surat pemaju itu kepada anggota parlimen Subang R Sivarasa mengakui memberikan enam ekar tanah itu.

Rama Chandran turut mendedahkan permohonan menggunakan tiga ekar tanah itu dibuat kira-kira 20 tahun lalu kepada menteri besarnya ketika itu Abu Hassan Omar.

Surat itu dikatakan bertarikh 30 Jun 1999.

Rama Chandran berkata beliau percaya kepimpinan semasa MIC akan memperbetulkan apa yang berlaku sebelum ini.

"Maka, saya minta pucuk pimpinan MIC supaya insaf dan serah balik tanah tersebut kepada pihak sekolah.

“Saya percaya pucuk pimpinan MIC bawah Tan Sri Vigneswaran lebih adil dan berbanding pimpinan-pimpinan terdahulu," katanya.