Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sangeet gesa AG jelaskan status RCI siasat salah laku hakim

Peguam Sangeet Kaur Deo akan menulis surat kepada Peguam Negara Tommy Thomas untuk bertanya tentang status cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku dan rasuah dalam kehakiman seperti dinyatakan dalam afidavit Hakim Mahkamah rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

Sangeet, yang berharap afidavit Hamid untuk kes samannya terhadap ketua hakim berkata, RCI itu dapat membantunya mengenal pasti langkah yang perlu diambilnya untuk kes saman berkenaan.

"Berhubung dengan (cadangan penubuhan) RCI, saya masih belum mendengar sebarang perkembangan daripada perdana menteri, terutamanya tentang terma rujukan.

"Saya akan menulis kepada peguam negara dan bertanya tentang status RCI itu dan bila ia akan bersidang, sebelum saya putuskan langkah yang mahu diambil (berhubung saman ke atas ketua hakim)," kata Sangeet.

Sangeet berkata demikian kepada pemberita selepas pengurusan kes samannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Firuz Jaffril di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Sementara itu, apabila ditemui dalam prosiding dalam kamar, Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bersetuju dengan Sangeet dan menggesa peguam negara memaklumkan orang ramai secepat mungkin terma rujukan yang akan digunakan bagi RCI yang dicadangkan itu.

Haniff berkata, terdapat persoalan apa yang akan jadi kepada saman Sangeet sekiranya RCI itu ditubuhkan.

"Kami mahu peguam negara memaklumkan orang ramai secepat mungkin untuk memuktamadkan terma rujukan.

"Sudah sebukan sejak kerajaan mengumumkan RCI itu, namun peguam negara belum memuktamadkan (terma rujukan)

"Kami menggesa agar ia diselesaikan kerana ia boleh menyelesaikan beberapa isu lain (berhubung saman Sangeet dan dakwaan dalam afidavit Hamid)," kata Haniff.

Dalam samannya, Sangeet menuntut pengisytiharan bahawa ketua hakim gagal mempertahankan integriti dan kredibiliti kehakiman kerana tidak melengkapkan siasatan berhubung dakwaan campur tangan dalam kehakiman.

Afidavit Hamid yang difailkan pada 14 Feb lalu mendakwa beberapa individu dalam kehakiman membantu pihak swasta menipu kerajaan melalui ahli politik yang akan mendapatkan kontrak dengan kerajaan.

Sebaik kerajaan membatalkan kontrak itu, menurut Hamid, pihak swasta akan membawa kerajaan ke mahkamah untuk menuntut pampasan.

Pada 21 Feb lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa kabinet bersetuju untuk penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan Hamid.

Minggu lalu, sumber atasan memberitahu Malaysiakini bahawa Pejabat Peguam Negara masih dalam proses mendraf terma rujukan bagi RCI itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS