Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beku akaun bekas suami tak bayar nafkah perlu pindaan undang-undang

Cadangan membekukan akaun bekas suami yang ingkar membayar nafkah kepada anak-anak dan bekas isteri disambut baik banyak pihak termasuk pengamal undang-undang syariah.

Bagaimanapun, Peguam Syarie, Mohammad Iz'aan Azalan berkata kerajaan kini berdepan dengan cabaran yang besar dalam usaha melaksanakan cadangan tersebut.

Menurut Mohammad Iz'aan, ini kerana ada undang-undang yang terpaksa dipinda untuk melaksanakan usaha tersebut.

"Secara ringkasnya kalau kita tengok dari sudut pratikal, pelaksanaan cadangan tersebut melibatkan perbankan dan kita kena tahu perbankan ini adalah dibawah Undang-undang Persekutuan manakala Undang-undang Syariah pula di bawah (kerajaan) negeri.

"Jadi, apabila berbeza dua set undang-undang ini, kebiasaannya kita akan mengalami masalah dari sudut pelaksanaannya.

"Dan untuk itu, undang-undang yang melibatkan bank itu sendiri perlu dipinda bagi membolehkan pembekuan dilaksanakan," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Mohamad Iz'aan berkata beliau tidak pasti pindaan tersebut perlu dibuat di bawah akta yang mana.

"Sebab dalam satu-satu akta itu dia banyak seksyen. Jadi, apa yang kita boleh buat adalah memastikan supaya salah satu seksyen yang berhubungan dengan perintah Mahkamah Syariah ini dapat dilaksanakan.

"Jadi, kalau benda itu berlaku insya-Allah mudahlah untuk kita (laksanakan cadangan itu) dan tidak akan ada siapa yang akan pertikaikan kuasa mana yang digunakan untuk bekukan akaun bekas suami ini," katanya.

Berbeza di Mahkamah Sivil

Mohammad Iz'aan berkata demikian mengulas cadangan pembekuan akaun bekas suami yang ingkar membayar nafkah kepada anak-anak dan bekas isteri dalam usaha memperkasa penguatkuasaan terhadap mereka yang ingkar perintah mahkamah.

Undang-undang Persekutuan dipertanggungjawab berhubung soal Islamic Financial Services Act 2013 (IFSA) atau (Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013) dan Financial Services Act (FSA).

Namun, mengulas lanjut Mohammad Iz'aan berkata ia akan menjadi sukar tanpa pindaan undang-undang tersebut.

"Tetapi, jika tidak ada (pindaan), bank sendiri dalam keadaan serba salah kerana membekukan akaun mereka yang terlibat, yang mana bukan di bawah bidang kuasa dia.

"Jadi, konflik dia memang akan berterusan selagi tidak ada pindaan undang-undang dan cabarannya akan jadi sangat tinggi," katanya.

Bagaimanapun, Mohammad Iz'aan berkata ia berbeza di peringkat Mahkamah Sivil.

"Kalau di Mahkamah Sivil ia tidak ada masalah untuk (beku akaun bekas suami) dibuat kerana ia ada kuasa untuk memerintah bank bagi tujuan pembekuan dan sebagianya.

"Mahkamah Syariah dia tidak mempunyai kuasa terhadap perkara yang di bawah undang-undang Persekutuan melainkan Wilayah Persekutuan bagi hal-hal agama Islam.

"Jadi, isunya nanti apabila mahkamah mengeluarkan satu perintah bagi beku akaun bekas suami isu dia bagaimana bank ini nak laksanakan sedangkan dibawah peruntukan bank tidak ada akta khusus bahawa bank perlu melayan perintah Mahkamah Syariah,

"Jadi, kekangan paling besar sebelum apa-apa urusan adalah kekangan undang-undang itu sendiri," tegasnya.

Nafkah adalah tanggungjawab

Sementara itu, Pegawai Undang-undang SIS, Nik Shazarina Bakti turut menyambut baik cadangan kerajaan itu.

Katanya, hukum syarak juga mewajibkan nafkah anak wajib disediakan oleh bapa.

"Secara teknikalnya SIS mengalu-alukan tindakan kerajaan untuk mengambil serius perkara ini (cadangan kerajaan untuk membekukan akaun bekas suami yang ingkar bayar nafkah).

"Sebab kita memang banyak jugalah masalah berkaitan nafkah anak.

"Nafkah ini tanggungjawab dan dalam al-Quran dah nyatakan tentangnya, jadi bapa atau suami kena tunaikan tanggungjawab itu. Kenapa tak nak ikut?

"Macam bila kita buat pinjaman bank, setiap bulan kita kena bayar tetapi kenapa dengan anak isteri kira tak boleh buat dan kita tak boleh harapkan isteri semata-mata sebab dia bekerja," tambahnya.

Pada November lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata, pihaknya bercadang membekukan akaun bekas suami yang ingkar membayar nafkah kepada anak-anak dan bekas isteri dalam usaha memperkasa penguatkuasaan terhadap mereka yang ingkar perintah mahkamah.

Katanya cadangan yang akan dilaksanakan bersama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) itu juga dilakukan berikutan ramai wanita yang tidak diberi keadilan dari sudut nafkah walaupun telah diputuskan oleh mahkamah syariah.

Bagaimanapun, pada 10 Mac lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata cadangan tersebut belum boleh dilaksanakan kerana kerajaan perlu mengkaji aspek perundangan berhubung perkara itu.

Lihat Komen
ADS