Malaysiakini BERITA

MIC cabar PH tunjuk bukti pembinaan lapan sekolah Tamil baru

B Nantha Kumar  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

MIC hari ini mencabar Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer supaya mengemukakan bukti yang menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah membina lapan sekolah Tamil baru di Pulau Pinang.

Ketua penerangannya, V Gunalan berkata Rayer perlu memohon maaf sekiranya tidak dapat membuktikan bahawa PH telah membina lapan sekolah Tamil baru seperti yang didakwanya di Dewan Rakyat, semalam.

"Kenyataan Rayer yang berkata bahawa PH membina lapan sekolah Tamil baru di Pulau Pinang adalah sangat lucu dan juga satu cubaan mengelirukan rakyat.

"Setahu kami, sekolah-sekolah Tamil sedang bertungkus lumus dengan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) untuk mendapatkan peruntukan yang dijanji semasa pemerintahan BN.

“Ini pula, kata bina lapan sekolah baru sedangkan PH memerintah negara tak sampai satu tahun," katanya kepada Malaysiakini.

MIC turut meminta Rayer supaya menjelaskan lokasi sekolah-sekolah berkenaan berserta dengan nama-nama sekolah tersebut sekali.

"Selepas BN dikalahkan pada PRU14 yang lalu, jumlah sekolah Tamil di Pulau Pinang adalah 28 sahaja. Kalau mengikut kenyataan Rayer, kini perlu adanya 36 sekolahTaml. Harap Rayer dapat kemukan buktinya.

"Sekiranya gagal, maka beliau perlu meminta maaf secara terbuka kerana menipu dan memberikan fakta yang mengelirukan rakyat," kata Gunalan.

Untuk rekod, dalam sesi parlimen semalam, Rayer berkata kerajaan PH membina lapan sekolah baru di Pulau Pinang.

"Di Pulau Pinang, Pakatan Harapan telah membina sekolah Tamil, lima atau enam sekolah telah dibina. Jangan putar belit fakta," kata Rayer ketika mencelah ucapan Perbahasan menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat oleh M Saravanan (BN-Tapah).

 Rayer bangun sekali lagi menyatakan bahawa PH membina lebih kurang lapan sekolah Tamil ketika menjawab Saravanan bertanya apakah status sekolah menengah Tamil yang dijanjikan oleh PH dalam manifesto mereka.