Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemaju fail taksiran gantirugi ke atas penganut kuil
Diterbitkan:  Mar 15, 2019 4:21 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Pemilik dan pemaju tapak Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya One City Development Sdn Bhd memfailkan permohonan taksiran ganti rugi, terhadap 50 penganut di kuil itu yang sebelum ini gagal dalam usaha mereka, untuk menghalang syarikat itu daripada memasuki kawasan tersebut untuk tujuan perobohan.

Notis permohonan difailkan One City Development menerusi firma guaman Tetuan Skrine di pejabat penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada Selasa (12 Mac).

Seorang peguam dari firma guaman itu memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan hari ini untuk pengurusan kes.

Beliau berkata Timbalan Pendaftar Ahmad Feisal Mohd Azmi bagaimanapun memberi peluang kepada kedua-dua pihak, untuk menyelesaikan perkara tersebut di luar mahkamah.

“Justeru mahkamah menetapkan 23 April ini untuk mengetahui sama ada kedua-dua pihak berjaya mencapai persetujuan (penyelesaian luar mahkamah) atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui selepas prosiding berakhir.

Turut hadir peguam yang mewakili 50 penganut berkenaan, Dinesh Kunasekar.

Pada 13 Feb lalu, Hakim Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Wong Kian Kheong menolak dengan kos permohonan bagi injunksi interlocutory oleh 50 penganut Kuil Sri Maha Mariamman untuk menghalang One City Development daripada memasuki kawasan itu untuk tujuan perobohan.

Plaintif juga memohon antara lain, perintah untuk menangguhkan pelaksanaan writ pemilikan bertarikh 14 Nov, 2017, yang diperoleh One City Development.

Mahkamah membuat keputusan menolak itu selepas mendapati bahawa plaintif tidak mempunyai justifikasi yang wajar untuk tindakan terhadap pemaju, dan tidak mempunyai “locus standi” di bawah Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan 1966 untuk memulakan tindakan saman.

Selain One City Development, plaintif juga menamakan K Chellapan, yang disaman sebagai pegawai awam bagi pihak jawatankuasa pengurusan kuil; Sime UEP Properties Bhd; pengarah Perancangan Bandar dan Desa Selangor dan kerajaan Selangor sebagai defendan.

Dalam prosiding yang sama, Hakim Wong turut membenarkan permohonan One City Development, Sime UEP Properties, pengarah Perancangan Bandar dan Desa Selangor serta kerajaan Selangor untuk membatalkan saman oleh penganut kuil tersebut.

Beliau juga memerintahkan plaintif membayar ganti rugi dan faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap jumlah ganti rugi kepada One City Development berhubung semua kerugian yang dialami pemaju yang timbul daripada akujanji.

Isu pemindahan kuil tersebut telah mencetuskan rusuhan pada 26 dan 27 Nov tahun lepas, berhampiran kuil, menyebabkan seorang anggota bomba, Muhamad Adib Mohd Kassim, cedera parah sementara beberapa orang lain turut cedera, 23 kenderaan dibakar dan sebahagian One City Mall mengalami kerosakan.

Muhamad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis.

- Bernama

Lihat Komen
ADS