Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Wartawan tak terkecuali kena bahana toksik Sg Kim Kim
Diterbitkan:  Mar 15, 2019 6:42 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang , sejak 7 Mac lalu, bukan sahaja menjejaskan orang awam, malah memberi kesan kepada beberapa petugas media yang membuat liputan mengenainya.

Terbaru, wartawan Harian Metro, Mary Victoria Dass, 39, mengalami sesak nafas dan hidung berdarah, kira-kira 11.20 pagi tadi, selepas membuat liputan di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

“Saya sudah mengalami selesema dan berasa tidak sihat sejak malam tadi, tetapi saya kuatkan semangat untuk bekerja.

“Selepas berasa sesak nafas dan hidung berdarah, saya terus mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Taman Mawar, Pasir Gudang dan doktor mengesahkan saya mengalami kesan pencemaran,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Mary yang berkhidmat dengan Harian Metro sejak 13 tahun lepas berkata dia diberikan cuti sakit selama dua hari mulai hari ini dan hidungnya masih lagi mengalami pendarahan sehingga petang ini.

Terdahulu wartawan Astro Awani

“Saya mula membuat liputan kejadian ini sejak hari pertama kejadian 7 Mac lepas, namun cuti rehat beberapa hari sebelum kembali bertugas. 

"Doktor ada menasihati supaya saya memakai penutup hidung dan mulut sesuai, apabila meneruskan tugasan selepas ini,” katanya.

Terdahulu, sebelum Mary, wartawan Astro Awani Ernalisa Othman mengalami loya, pening dan muntah, dua hari lepas, sehingga menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.

Ketua Biro TV3 Johor Zahir Senapiah pula turut mengalami muntah-muntah pada hari sama, sejurus pulang dari membuat liputan di Pasir Gudang.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Johor Mohammad Fauzi Ishak menasihati para pengamal media yang membuat liputan kejadian berkenaan, supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan seperti pemakaian penutup hidung dan mulut.

“Saya bersimpati dengan kejadian berlaku dan berharap rakan-rakan yang bertugas berhati-hati serta peka ketika berada di lokasi bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya yang juga jurukamera Astro Awani.

Lihat Komen
ADS