Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
KDN minta polis tumpu keselamatan tempat ibadat - Timb menteri
Diterbitkan:  Mar 16, 2019 5:34 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi tumpuan kepada keselamatan lokasi tertentu termasuk rumah ibadat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman berkata ini susulan insiden tembakan rambang ke atas dua masjid di New Zealand yang dilapor mengorbankan 49 nyawa semalam.

"Pihak polis maklum tentang perkara ini dan kita telah minta untuk mereka memberikan kawalan dan pemerhatian serius khususnya di tempat-tempat agama," katanya selepas operasi menangkap pendatang asing tanpa izin di Pasar Borong Seri Kembangan, di sini hari ini.

Insiden itu turut mencederakan tiga rakyat Malaysia.

"Kami amat bersimpati dengan keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden serangan keganasan itu," kata Mohd Azis.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis akan memperketatkan kawalan keselamatan di tempat ibadat dan pusat hiburan.

"Kita sentiasa mengarahkan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk memantau tempat ibadah dan tempat-tempat sensitif," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Perpaduan Demi Negara Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk 2019, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

Selain itu, Ayob Khan berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi isu agama dan perkauman yang boleh menggugat keamanan negara.

"Saya tegaskan jangan ada sebarang pihak khususnya di Malaysia mengeksploitasi isu agama dan perkauman atau hak-hak istimewa, institusi Raja-raja di Malaysia untuk kepentingan mereka,” katanya.

Ayob Khan berkata isu sedemikian boleh mencetuskan tindak balas pihak tertentu seperti mereka yang terlibat dengan Daesh untuk melakukan serangan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS