Mangsa 11 tahun masih trauma serangan di NZ - Bapa saudara
Anak sulung salah seorang rakyat Malaysia yang cedera dalam serangan masjid di Christchurch, New Zealand semalam, masih dalam keadaan trauma dan memerlukan perhatian khusus ibunya, kata bapa saudaranya di sini hari ini.
Rosdi Ahmad, 42, berkata anak saudaranya, Ahmad Razif Rahimi, 11, yang tidak mengalami kecederaan luaran dalam insiden itu masih ketakutan kerana menyaksikan sendiri kejadian itu semasa berada di Masjid Al-Noor.
Katanya adik iparnya, Nor Azila Abdul Wahid, 39, yang juga isteri kepada adiknya, Rahimi yang tercedera dalam insiden itu, memaklumkan Ahmad Rafiz tidak mahu bersama orang lain kecuali ibunya selepas kejadian itu.
“Selain itu, Nor Azila juga memberitahu Rahimi telah menjalani pembedahan kedua iaitu membuang peluru yang terkena tulang belakangnya pagi ini dan dia masih belum sedar namun dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.
Rosdi ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebelum berlepas ke Christchurch, New Zealand petang ini bersama-sama ibunya, Rokiah Mohammad dan dua wakil kerajaan Pulau Pinang, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz.
Peluru dari bahagian perut
Rosdi berkata Rahimi telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru dari bahagian perutnya semalam dan beliau bersama-sama ibunya berharap adiknya itu akan cepat pulih seperti sedia kala.
Seperti mana perasaan ibunya, beliau berkata mereka tidak sabar untuk melihat sendiri keadaan Rahimi serta keluarganya di Christchurch dan menjangka akan berada di New Zealand selama sebulan.
"Saya dan keluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutama Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang membantu membawa kami ke sana untuk melihat sendiri keadaan adik yang cedera," katanya.
Rahimi, jurutera di sebuah kilang di Christchurch, adalah antara tiga rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera dalam insiden tembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood. Ketiga-tiga mereka kini menerima rawatan di hospital di sana.
Sementara itu, Phee berkata pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand akan menguruskan Rokiah dan Rosdi untuk melawat Rahimi di hospital di sana.
Menurutnya usaha mereka untuk membawa kedua-dua anggota keluarga Rahimi ini banyak dibantu pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta.
- Bernama

