Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Keganasan didorong fahaman, bukan permainan video'

Permainan video tidak harus disalahkan atas kejadian keganasan, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.

Jelas Syed Saddiq, tindakan ganas didorong oleh fahaman ekstremisme dan bukannya permainan video.

"Ada atau tak ada permainan video kalau orang dah ada fahaman ekstremisme sebegitu orang pasti akan lakukan dan laksanakan (keganasan)," katanya.

Syed Saddiq berkata demikian selepas Pengarah Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau permainan video yang mengandungi unsur ganas atau perang.

Ayob Khan, yang mengulas kejadian keganasan Jumaat lalu yang menyebabkan 50 terkorban di masjid Christchurch di New Zealand berkata, individu yang bermain permainan video seumpama itu akan mudah terpengaruh.

Dalam perkembangan sama, Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad pula memetik secara spesifik permainan video popular masa kini, PlayerUnknown's Battleground (PUBG), yang menurutnya mempunyai pengaruh buruk kepada golongan muda.

Mohd Yusof berkata PUBG boleh menghilangkan perasaan simpati, belas ihsan, kasih sayang dan membentuk anak muda yang tiada perasaan.

Sementara itu, Syed Saddiq menambah bahawa keganasan sudah lama wujud sebelum permainan video PUBG menjadi popular.

"Adakah bermaksud kita kena haramkan semua hanya kerana ia berkaitan dengan unsur penembakan? Saya fikir masalah ini lebih besar daripada itu.

"Mari kita sama-sama menghormati mangsa. Jangan cepat salahkan (kejadian) ini sebab permainan video," katanya.

Beberapa pihak mendakwa suspek utama yang melakukan pembunuhan di Christchurch merupakan penggemar permainan video.

Suspek berkenaan menyiarkan secara langsung tindakannya melepaskan tembakan yang dilihat menyerupai paparan permainan video, dan juga dikatakan menyebut istilah yang biasa dalam kalangan penggemas permainan video.

Dalam kejadian itu, tiga rakyat Malaysia turut tercedera.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS