Bekas jurugambar hina Hindu tukar pengakuan kepada tak salah
Seorang bekas jurugambar syarikat produksi yang sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan menghina agama Hindu di laman sosial Facebooknya menukar pengakuannya kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur hari ini.
Zamri Abdul Razak, 52, bagaimanapun hanya memberitahu perkara itu pada saat-saat akhir menyebabkan dia ditegur oleh Hakim Zamri Bakar.
“Yang dikesali, sepatutnya beritahu awal kalau mahu menukar pengakuan, tidak perlu kehadiran peguam. Pihak-pihak lain, pendakwaan, polis yang terlibat dalam kes ini (yang menunggu dari awal) perlu diambil kira,” kata hakim itu.
Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk mendengar fakta kes dan menjatuhkan hukuman bagaimanapun tertuduh yang hadir sebelum 9 pagi tidak memberitahu mahkamah bahawa dia ingin menukar pengakuannya, sebaliknya lelaki itu memaklumkan dia menunggu kehadiran peguamnya Mohd Harris Abdullah dari Raub, Pahang, menyebabkan mahkamah terpaksa menangguhkan prosiding sehingga 12.40 tengah hari.
Mohd Harris kemudian memberitahu mahkamah bahawa tertuduh telah melantiknya sebagai peguam malam tadi dan telah dimaklumkan bahawa anak guamnya ingin menukar pengakuannya.
“Pagi tadi saya ada dua kes di Mahkamah Majistret Raub. Saya difahamkan tertuduh mahu tarik balik pengakuannya, saya berpendapat kehadiran saya tidak diperlukan hari ini. Bagaimanapun saya mohon maaf atas salah faham yang berlaku,” katanya yang turut memohon maaf sekiranya kelewatannya dan tindakan anak guamnya telah menyusahkan ramai pihak.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal turut meluahkan rasa kecewa kerana tindakan tertuduh yang tidak memaklumkan kepada mahkamah lebih awal mengenai niatnya untuk menukar pengakuan.
“Ya, itu memang haknya (menukar pengakuan) tetapi atas dasar hormat-menghormati sepatutnya dimaklumkan, fakta kes, laporan berkaitan sudah disediakan,” kata Muhamad Asyraf yang memohon mahkamah menimbang semula jumlah jaminan RM15,000 yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini bagi menjamin kelancaran perbicaraan.
Hakim Zamri bagaimanapun mengekalkan jumlah jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 April untuk sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Zamri didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “Zamri Bin Abd Razak” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dua komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca seorang pengguna Facebook “Saravana Kumar” di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di sini, pada 12.45 tengah hari, 10 Mac 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum menurut Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
- Bernama

