Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemuda PAS ancam demo jika 3 pemimpin DAP tak mohon maaf

Pemuda PAS Selangor barkata pihaknya akan menganjurkan himpunan besar-besaran jika tiga pemimpin DAP - Lim Guan Eng, Nga Kor Ming dan Chew Chong Sin - tidak memohon maaf atas kenyataan mereka yang disifatkan sebagai "melampau".

"Kalau pimpinan DAP masih berdegil, insyaAllah kami akan menghimpunkan sejumlah ramai umat di negara ini, tak kira bangsa. Kita yakin bukan semua orang Cina suka dengan sikap mereka ini," kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor Hanafi Zulkapli.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada ibu pejabat DAP berkenaan kenyataan yang dikeluarkan tiga pemimpin parti itu sebelum ini.

Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Eksekutif Wanita DAP Chin Pei Chi.

Pada 3 Mac lalu, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dilaporkan berkata Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang ditadbir Taliban jika Umno dan PAS berjaya membentuk kerajaan.

Tiga hari kemudian, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan kerjasama Umno-PAS "perisytiharan perang" terhadap golongan bukan Melayu. Beliau kemudian membuat pembetulan dengan menukar frasa "perisytiharan perang" dengan "menyasarkan".

Sekurang-kurangnya 58 laporan polis dibuat terhadap Lim dan siasatan kini masih berjalan.

Sementara itu, Adun Mengkibol Chew Chong Sin berkata serangan keganasan di masjid di New Zealand - yang mengorbankan 50 nyawa - patut dijadikan pengajaran di Malaysia dalam soal isu kaum dan agama dengan menjadikan kerjasama Umno-PAS sebagai contoh.

Beliau kemudian menarik balik kenyataan itu atas sebab ia telah mengakibatkan "salah faham".

Dalam kenyataannya, Pemuda PAS Selangor berkata pihaknya berasa kesal dengan "kenyataan melampau, tidak bertanggungjawab dan tiada langsung sensitiviti" oleh mereka.

Katanya, sudah beberapa kali pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan semupama itu dan ia mencetuskan suasana yang tidak baik kepada negara. 

Lihat Komen
ADS