Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan menyiasat senarai pemegang Lesen Import (AP) untuk mengenal pasti dakwaan kaitan syarikat dengan ahli politik daripada pentadbiran BN sebelum ini, kata Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming.

Katanya lagi, ia selepas dakwaannya semalam bahawa sebuah syarikat yang memiliki kaitan dengan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos ada dalam senarai 164 pemegang AP, yang mana 128 daripadanya diluluskan oleh pentadbiran BN.

"Tentang Jamal, selepas (kenyataannya) timbalan menteri Miti (Ong Kian Ming) datang kepada saya selepas ucapan saya di Parlimen.

"Dia berkata kementeriannya akan melihat perkara itu dan saisat sama ada orang politik Umno masih pegang AP dan pemilik syarikat tersebut, termasuk Jamal," katanya.

Ketika membahaskan titah diraja semalam, Lim menggesa kerajaan menyemak semula dasar AP yang menurutnya terus memperkaya sebilangan bumiputera yang sudah kaya.

Beliau membangkitkan Jamal sebagai contoh apa yang menurutnya mendapat manfaat daripada dasar itu.

Ketika dihubungi, Jamal mencabar Lim agar mengulangi dakwaannya di Dewan Rakyat.

Mengulas perkara itu, Lim berkata beliau akan menunggu hasil siasatan Miti sebelum memberi ulasan lanjut.

Beliau juga mengulang gesaannya agar penilaian semula dibuat ke atas semua pemegang AP, yang pada masa ini merangkumi 164 syarikat, termasuk 36 AP baru yang diberi kerajaan PH melalui dasar AP terbukanya.

Minggu lalu, Miti mengesahkan telah mengeluarkan AP kepada 36 syarikat baru di bawah dasar tersebut yang bermula Januari lalu.

Lihat Komen
ADS