Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Kepong dakwa syarikat dikaitkan dengan Jamal antara pemegang AP

Lim Lip Eng (PH-Kepong) mendakwa syarikat yang dikaitkan dengan ahli politik kontroversi Umno Jamal Yunos merupakan antara yang tersenarai dalam 128 pemegang Lesen Import (AP) baru yang dianugerahkan oleh pentadbiran BN sebelum ini.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Lim yang menggesa agar pemegang AP dikaji semula, memetik nama Jamal sebagai salah seorang ahli politik yang dikaitkan dengan Umno yang didakwa mendapat manfaat daripada dasar AP terbuka.

"Saya sarankan kerajaan ubah polisi AP terbuka import kereta supaya polisi boleh benar-benar manfaatkan lebih banyak bumiputera dan bukan hanya memperkaya sebilangan bumiputera yang suda kaya jadi lebih kaya.

"128 AP untuk syarikat sedia ada dan 36 untuk syarikat baru. Saya mahu tanya siapa pemilik 128 syarikat itu?

"Saya difahamkan bahawa kebanyakan daripada 128 syarikat itu merupakan milik ahli politik Umno dan kroni mereka, salah seorang daripada mereka adalah Jamal," kata Lim yang selepas itu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa beliau merujuk kepada ketua bahagian Umno Sungai Besar itu.

Wakil rakyat DAP itu juga menggesa agar dasar AP dikaji semula secara menyeluruh bagi memastikan ia memberi manfaat kepada bumiputera dan bukannya kumpulan tertentu.

Malaysiakini mendapati syarikat yang dikaitkan dengan Jamal yang dimaksudkan adalah Ismo Automobile Sdn Bhd.

Semakan menunjukkan nama syarikat itu berada di nombor 57 daripada 164 syarikat dalam senarai pemegang AP yang dikeluarkan Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (Miti).

Semakan pada rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan nama Jamal sebagai salah seorang daripada empat pengarah syarikat dengan pegangan saham 1 peratus untuk keseluruhan operasi.

Menurut rekod SSM yang dikemas kini Sept tahun lalu, syarikat yang berpusat di Kepong itu ditubuhkan pada 1982. Tidak jelas sama ada pemilikan syarikat itu pernah berubah sejak ditubuhkan.

Ketika dihubungi, Jamal sekadar mencabar Lim mengulangi dakwaan terhadapnya di luar Dewan Rakyat.

"Ini bukan kali pertama dia (Lim) petik nama saya, tapi kali ini saya akan respons, dan saya cabar dia untuk ulang dakwaan tu di luar Dewan Rakyat.

"Kita tahu apa nak buat lepas itu," kata Jamal ketika diminta mengulas perkara itu.

Ditanya kaitannya dengan Ismo Mobile, Jamal sekadar berkata: "Saya tidak mahu buat kenyataan lanjut kerana ia melibatkan pengarah dan pemegang saham syarikat itu."

Minggu lalu, Miti mengesahkan bahawa 36 syarikat baru dijadikan pemegang AP di bawah dasar AP terbuka yang diperkenalkan pada Jan lalu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS