Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pencemaran toksik: 395 masih terima rawatan - Dr Dzulkefly

Seramai 395 mangsa masih menerima rawatan akibat pencemaran toksik daripada pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, maklum Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad bekata setakat 12 malam tadi, 18 Mac sebanyak 395 mangsa sedang menerima rawatan.

“Daripada 304 kes yang datang ke GCC (ground command center) hanya 15 kes dimasukkan wad.

“Sebanyak 14 kes masih menerima rawatan di HSA (Hospital Sultan Aminah), manakala 32 kes lagi di Hospital Sultan Ismail (HSI) jumlahnya 46 kes di dua hospital ini,” katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat.

Antara lain, Dzulkefly turut memberitahu sebanyak 91 kes dirawat di klinik dan swasta dengan jumlah keseluruhan turun kepada 395 kes sahaja.

“Trendnya memang jelas, menurun dan kita harap tiada mangsa terdedah kepada sisa kimia,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan jumlah mangsa yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) juga menurun daripada empat kes semalam kepada dua kes sahaja hari ini.

“Daripadanya dua kes di ICU hanya seorang pelajar berusia 12 tahun menerima semula rawatan ventilasi kerana masalah kesesakan nafas. Namun, kedua-duanya dalam keadaan stabil,” jelas beliau lagi.

Insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim dikesan pada 7 Mac selepas ramai pelajar, guru dan petugas sekolah mengalami sesak nafas, muntah, loya dan sakit tekak.

Pada 13 Mac, Kementerian Pendidikan mengarahkan 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang ditutup berikutan beberapa gelombang “Simptom Kim Kim” yang berlaku di beberapa sekolah sebagai langkah berjaga-jaga.

Pada 14 Mac lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Johor, Dr Sahruddin Jamal memaklumkan seramai 1,906 jumlah mangsa terjejas.

Menurutnya, sebanyak 1,906 kes ditempatkan di Medic Base, bertarikh 11 Mac 2019 hingga 14 Mac 2019, pada jam 12 tengahari, dengan 276 kes telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,483 mangsa ditempatkan di Medic Base Dewan Taman Pasir Putih dengan 224 kes dirujuk ke hospital.

"Manakala, seramai 423 mangsa ditempatkan di Medic Base Dewan Taman Mawar dengan 52 kes dirujuk ke HSI," katanya.

Hujan yang menyebabkan sisa kimia di sungai mendap ke tanah sebelum penguapan gas kimia berkenaan ke udara dilaporkan sebagai antara faktor menyebabkan kawasan lebih jauh dari lokasi pencemaran turut terjejas.

Lihat Komen
ADS