Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hampir 2,000 terjejas akibat sisa toksik di Johor
Diterbitkan:  Mar 14, 2019 8:32 PM
Dikemaskini: 12:32 PM

Seramai 1,906 jumlah mangsa terjejas akibat pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Johor, Dr Sahruddin Jamal.

Menurutnya, sebanyak 1,906 kes ditempatkan di Medic Base, bertarikh 11 Mac 2019 hingga 14 Mac 2019, pada jam 12 tengahari, dengan 276 kes telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,483 mangsa ditempatkan di Medic Base Dewan Taman Pasir Putih dengan 224 kes dirujuk ke hospital.

"Manakala, seramai 423 mangsa ditempatkan di Medic Base Dewan Taman Mawar dengan 52 kes dirujuk ke HSI," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, sebanyak 869 mangsa telah mendapatkan rawatan secara terus di hospital dan klinik-klinik di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru tanpa merujuk kepada Medic Base yang dibuka.

Dr Sahruddin berkata demikian sebagai mengulas insiden pembuangan sisa kimia berbahaya secara haram di Sungai Kim Kim yang mengakibatkan pencemaran gas metana pada Khamis lalu.

Hujan yang menyebabkan sisa kimia di sungai mendap ke tanah sebelum penguapan gas kimia berkenaan ke udara dilaporkan sebagai antara faktor menyebabkan kawasan lebih jauh dari lokasi pencemaran turut terjejas.

Sementara itu, Dr Sahruddin memberitahu bahawa kerajaan negeri mengambil langkah pemantauan udara secara berskala bagi memastikan orang ramai sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkenaan insiden ini.

Katanya, selain, 111 sekolah yang telah diarahkan tutup, sebanyak 92 buah tadika dan taska di kawasan terjejas juga telah mengambil tindakan sama bagi mengelakkan peningkatan jumlah mangsa.

"Penduduk juga perlu lebih peka dengan persekitaran dan mengikut arahan pihak berkuasa daripada masa ke semasa memandangkan usaha melakukan pembersihan pencemaran toksik itu sudah pun dimulakan," jelasnya.

Beliau turut meminta orang awam agar mendapatkan rawatan awal di hospital seandainya terdapat sebarang kesan akibat terdedah kepada pencemaran sisa bahan kimia memandangkan kesan pencemaran tersebut agak berisiko tinggi terhadap kesihatan.

Tambahnya, seramai 426 petugas dari 19 jabatan dan agensi kerajaan telah ditempatkan bagi memastikan kawalan insiden ini berada pada tahap terbaik.

Lihat Komen
ADS