Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

DUN KELANTAN | Semenjak PAS mentadbir negeri Kelantan bermula tahun 1990, sehingga kini kerajaan negeri berjaya mengekalkan rekod sifar rasuah, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurut beliau, pencapaian itu hasil pendekatan dan dasar Membangun Bersama Islam yang diperkenalkan PAS di samping program lain yang diadakan dari semasa ke semasa.

“Antara program yang dilaksanakan termasuk mengadakan program latihan Ummi, Ubudiyah dan Itqan yang dilaksanakan di semua jabatan kerajaan pada setiap Khamis setiap minggu bermula 2.30 hingga 3.30 petang.

"Di peringkat Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan, kita berusaha melaksanakan MS ISO370001206 iaitu sistem pengurusan anti rasuah, dan sistem ini akan dipanjangkan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan negeri sesuai dengan ketetapan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019-2029," katanya ketika menjawab soalan Mohd Roseli Ismail (PAS-Kemuning) pada persidangan dewan undangan negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Pada sesi soal jawab lisan itu, Mohd Roseli menyoal mengenai usaha dan langkah diambil kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan terus bersih daripada amalan rasuah.

Tak beri kesan

Sementara itu, Rozi Muhamad (PAS-Tendong) melalui soalan tambahan mengemukakan pertanyaan sekiranya dakwaan berlakunya rasuah di kalangan pemimpin PAS memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Mohd Amar menegaskan perkara itu tidak memberi kesan.

"Saya percaya ia tak memberi kesan kepada rakyat sebab itulah kita boleh menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.

"Kita mengamalkan sikap terbuka sejak dahulu sehingga kini dengan membuka pintu kepada SPRM dan pihak berkuasa lain untuk menyiasat sekiranya terdapat dakwaan.

"Malah, kita sentiasa memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan membuka pintu selama 24 jam untuk sebarang siasatan," jelasnya yang juga Adun Panchor.

Dakwaan itu difahamkan berkait isu beberapa pemimpin PAS Kelantan yang dipanggil SPRM sebelum ini bagi membantu siasatan dakwaan pemimpin PAS menerima dana daripada Umno.

Dalam pada itu Mohd Amar berkata, kerajaan negeri pada bulan lalu juga melantik bekas pengarah SPRM Kelantan, Moh Samsudin Yusoff sebagai pegawai pemantauan dan pelaksanaan program integriti.

Lihat Komen
ADS