Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasatan bank pusat S'pura terhadap 1MDB masih berjalan

Singapura masih meneruskan siasatan terhadap institusi kewangan dan individu lain yang disyaki terbabit dalam kesalahan berkaitan 1MDB, demikian menurut Pihak Berkuasa Kewangan (MAS) republik itu hari ini.

Dalam Laporan Penguatkuasaan pertamanya yang dikeluarkan hari ini, MAS turut menyifatkan tumpuan terhadap 1MDB itu sebagai tindakan pengubahan wang haram dan menangani pembiayaan keganasan yang paling komprehensif dilakukan pihaknya, setakat ini.

Malah, laporan sama turut menyenaraikan 1MDB sebagai antara Kes Tumpuan membabitkan usaha kawalan pengubahan wang haram oleh entiti dan individu.

Bank pusat Singapura itu juga bekerjasama erat dengan Pejabat Peguam Negara, Jabatan Hal Ehwal Komersial serta pihak pengawal selia asing dan agensi penguatkuasaan undang-undang bagi membongkar jaringan transaksi kompleks membabitkan sejumlah syarikat tidak aktif luar pesisir yang ditubuhkan bagi menyembunyikan aset peribadi serta penyelewengan dan pihak yang melakukan komplot meliputi pelbagai bidang kuasa.

MAS telah mengambil pelbagai tindakan pengawalseliaan yang tegas seperti mengarahkan penutupan bank-bank tersebut, mengenakan penalti kewangan terhadap institusi kewangan yang gagal menepati standard antipengubahan wang haram serta melarang pembabitan individu tertentu dalam industri kewangan republik itu.

Ini termasuk mengarahkan penutupan cawangan Singapura BSI Bank Ltd dan Falcon Private Bank Ltd.

Selain itu, lapan institusi kewangan turut didenda masing-masing sebanyak S$30 juta (S$1 = RM3) iaitu BSI Bank Ltd, Falcon Private Bank Ltd Cawangan Singapura, Standard Chartered Bank Cawangan Singapura, Coutts & Co Ltd Cawangan Singapura, UBS AG Cawangan Singapura, DBS Bank Ltd, United Overseas Bank dan Credit Suisse.

Pada masa sama, MAS mengeluarkan arahan pengurusan bank menyiasat masalah atau kes luput, menangani kekurangan kawalan serta mengenakan tindakan disiplin terhadap kakitangan bank yang terbabit.

Seramai lapan individu dikenakan Perintah Larangan (PO) yang membabitkan tempoh antara tiga tahun sehingga seumur hidup.

PO seumur hidup dikenakan terhadap empat individu iaitu bekas ahli perbankan BSI Singapore Yeo Jiawei; bekas Pengarah Urusan Swiss Bank BSI Yak Yew Chee; bekas Pengurus Cawangan Falcon Private Bank Ltd Cawangan Singapura Jens Fred Sturzenegger dan Tim Leissner yang juga bekas Pengarah Goldman Sachs.

Laporan Penguatkuasaan MAS yang diterbitkan setiap 18 bulan itu, menggariskan keutamaan tindakan berkaitan serta memaparkan kebertanggungjawaban dan ketelusan terhadap tindakan membabitkan kesalahan melanggar peraturan dan ketetapan.

“Perkembangan saiz dan kesukaran membabitkan industri kewangan Singapura akan turut membabitkan peningkatan risiko salah laku berkaitan," kata Pengarah Eksekutif (Penguatkuasaan) MAS, Gillian Tan dalam kenyataan bersempena terbitan laporan itu.

Beliau menyifatkan aspek penguatkuasaan itu memainkan peranan penting dalam pengawasan kewangan menerusi usaha pengesanan, siasatan dan hukuman terhadap kesalahan atau salah laku serius.

"Ini bertujuan mengekang salah laku dan yang tidak beretika serta melindungi pengguna," tegasnya.

Menurut Tan, Laporan Penguatkuasaan itu turut memperincikan kerja-kerja dan keutamaan penguatkuasaan MAS selain membolehkan sektor awam dan kewangan mendapat gambaran menyeluruh mengenai usaha berterusan bagi memelihara integriti pasaran kewangan Singapura.

-Bernama

Lihat Komen
ADS