Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Negara Taliban? Jangan sampai Amerika percaya Kor Ming

ULASAN | Ada pun dakwaan atau provokasi Nga Kor Ming - seorang timbalan speaker Dewan Rakat merangkap pengerusi DAP Perak - betapa taawun Umno-PAS atau UMPAS bakal membentuk pemerintahan Taliban di Malaysia adalah dongeng karut kumpulan jahiliah yang terbaru.

Provokaksi itu adalah sambungan tempelak bosnya - Lim Guan Eng - yang mendakwa UMPAS dibentuk demi memerangi bukan Melayu, yang beberapa jam kemudian dicopnya bukan memerang tapi menyasar.

Apa pun, walau ia dimodifikasi, sudah ada hantuan perang itu di lubuk perutnya. Dan disambung Kor Ming yang menempelak azam memperkasa penyatuan ummah sebagai gara-gara Taliban itu adalah mengigaukan perang belasan tahun di Afghanistan.

Ia karut dan propaganda jahiliah terhadap Islam dulu, kini dan akan datang.

Sekalipun karut, tetapi dibimbangi ia membimbangkan Amerika. Amerika menghabiskan kekayaan dan kuasanya untuk memerangi Taliban dan masih terkial-kial untuk menamatkannya.

Kerana jenuh dan penatnya Taliban belum dapat dimatikan, ia berunding pula dengan musuhnya bagi menamatkan perang itu.

Sekarang Kor Ming bagitahu Taliban hendak muncul pula di Malaysia. Yang membimbangkan, takut Amerika terpengaruh dengan DAP lalu mengalih atau menyambung pula perang mereka ke Malaysia.

Jika Amerika dibantu oleh sekutunya - Australia, Eropah dan lain-lain - menyerang Taliban, adakah perang itu seminggu dua, atau berpanjangan seperti di Afghanistan dan Pakistan itu?

Yang binasa gedung-gedung Cina

Orang Melayu bersama UMPAS itu kira-kira 70 peratus. Yang bersama PH kurang daripada 20 peratus. Jika diceroboh Amerika, adakah mereka menyerah diri seperti bangsa-bangsa Eropah menyerah wilayah mereka kepada Hitler apabila diancam Nazi Jerman?

Jika mereka menyerah mungkin okey bagi DAP dan PKR. Tetapi kalau mereka jadi macam Yaman dan Syria, yang sengsara bukan sekadar Islam dan Melayu malah orang bukan Melayu, Cina, India dan lain-lain binasa belaka.

Apabila Amerika datang segala anasir daripada IS dan keganasan lain akan datang juga. Mereka tembak siapa dapat ditembak, tak kira Melayu, Cina atau DAP.

China, Rusia dan lain-lain tidak akan biarkan. Mereka ikut menembak dari darat dan langit. Orang Melayu yang ketinggalan ekonomi rata-ratanya adalah miskin.

Yang kaya dan bergedung, Cina.

Jika perang menjadikan Malaysia padang jarak dan padang tekukur, yang banyak binasa adalah gedung-gedung Cina.

Rumah Melayu jika terbakar banyak yang beratap rumbia. Banglo, rumah mewah, pencakar ozon yang banyak Cina punya. Melayu rugi, Cina lagi rugi.

Apabila sudah jadi macam Afghanistan, Yaman dan Syria jangan fikir Singapura kebal. Semua pelabur lari, Singapura hendak makan apa?

Tetapi Amerika tahu, 60 tahun merdeka BN perintah Kelantan 11 tahun saja. 50 tahun lagi di bawah PAS. Tidak nampak Kelantan macam diperintah Taliban.

Kelantan di bawah PAS lama sebelum Taliban muncul di dunia. Kalau Kelantan jadi Taliban, Amerika berperang di Malaysia dulu sebelum berperang di Afghanistan.

Semasa Kor Ming dan sepupunya MP DAP Beruas sekarang jadi eco Perak semasa PAS jadi menteri besarnya, mereka bertandang ke Kelantan dan dengar kuliah Jumaat Almarhum Tok Guru Nik Aziz.

Mereka duduk di celah ribuan orang PAS. Tok Guru tidak ajar orang Islam buru orang bukan Islam dari Kelantan. Bahkan orang Cina dan India Kelantan jauh lebih selesa berbanding orang Islam di Pulau Pinang yang DAP perintah.

Mungkin Umno tidak seadilnya terhadap bukan Melayu seperti yang Islam mahu, tetapi di bawah Umno pun bukan Melayu hidup seperti di syurga.


SUBKY LATIF ialah veteran PAS dan bekas wartawan. Rencana ini disiarkan lebih awal oleh Harakahdaily dengan judul: Bimbang Kor Ming Membimbang Amerika.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS