Polis akan memohon kepada Mahkamah Majistret di Johor Bahru esok untuk menyambung perintah tahanan reman ke atas lapan suspek berhubung kes pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata permohonan sambungan reman ke atas kesemua suspek ialah bagi membantu polis melengkapkan kertas siasatan.

“Kita akan mohon reman untuk sehari atau dua hari,” kata beliau.

“Kita berpuas hati dengan siasatan (tetapi), ada sikit lagi (untuk lengkapkan kertas siasatan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian anugerah kecemerlangan dalam akademik kepada pegawai polis dan anak-anak warga polis kaum India sempena Peringatan Hari Polis ke 212, di Johor Bahru hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Mohd Khalil berkata demikian ketika mengulas mengenai tempoh reman suspek-suspek terbabit yang berakhir esok.

Pada 17 Mac lepas, sembilan lelaki ditahan berhubung insiden pencemaran itu tetapi salah seorang daripada mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis setelah didapati tiada kaitan dengan insiden pencemaran itu.

Pada majlis berkenaan, dua pegawai kanan dan sembilan anggota berpangkat rendah serta enam anak-anak warga polis yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia menerima anugerah penghargaan daripada polis Johor.

- Bernama