FAM tiada kaitan dengan pengurusan projek MyTeam
Projek bolasepak MyTeam tidak ada kena mengena dengan Persatuan Bolasepak Malaysia ((FAM) walaupun ia diuruskan oleh syarikat milik ahli bebas Majlis FAM, Khairy Jamaluddin.
Projek bolasepak MyTeam tidak ada kena mengena dengan Persatuan Bolasepak Malaysia ((FAM) walaupun ia diuruskan oleh syarikat milik ahli bebas Majlis FAM, Khairy Jamaluddin.
Ketika menegaskan demikian, Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Omar berkata, pasukan Myteam diuruskan syarikat berkenaan Maya Team dengan kerjasama beberapa syarikat korporat tempatan termasuk Telekom Malaysia (TM).
Menurutnya lagi, projek Myteam itu juga diuruskan oleh syarikat berkenaan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Myteam bukan pasukan bolasepak yang dikendalikan oleh FAM dan kedua-duanya tidak mempunyai sebarang kaitan," katanya.
Raja Ahmad menegas demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Ketua Pemuda PAS, Idris Ahmad yang mendakwa, Khairy telah mengambil kesempatan daripada kedudukannya dalam FAM, untuk mengaut keuntungan besar melalui projek Myteam itu.
Idris mendakwa, Khairi yang juga Naib Ketua Pemuda Umno, mendapat hak untuk menguruskan program realiti ini, melalui syarikatnya Maya Team kerana beliau adalah Ahli Majlis FAM.
"Harus ditegaskan bahawa sukan negara mesti ditingkatkan tetapi bersih daripada kepentingan orang politik," katanya.
Khairy juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.
Mengulas lanjut mengenainya, Raja Ahmad menegaskan bahawa urusan pembiayaan dan penajaan pasukan bolasepak Myteam diuruskan sendiri oleh syarikat berkenaan.
Pemilihan pemain pasukan Myteam akan bermula Sabtu ini di Johor Bharu dan berakhir di Kuala Lumpur pada 9 April, untuk menentang pasukan negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil 28 Mei ini.
Bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh telah diberi tanggungjawab oleh syarikat berkenaan untuk mencari pemain berbakat untuk menentang pasukan kebangsaan yang dikendalikan oleh FAM.
Raja Ahmad berkata, pihaknya tidak menganggap Myteam sebagai satu saingan kepada FAM sebaliknya boleh menyemarakkan lagi perkembangan bolasepak tempatan
FAM katanya amat mengalu-alukan sebarang usaha pihak swasta untuk sama-sama memajukan bolasepak di negara ini.
Menurutnya, ini kerana kemajuan bolasepak bukan tanggungjawab FAM bersendirian sebaliknya perlu dipikul oleh semua pihak termasuk golongan korporat.

