Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanya PAS janji hapus PTPTN, kata Pemuda PH T'ganu

Pakatan Harapan (PH) Terengganu menyelar Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang disifatkan sebagai membuat kenyataan tidak benar berhubung isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Pemuda PH negeri, Mohd Hasbie Muda berkata, sikap Abdul Hadi itu menunjukkan betapa beliau masih keliru dalam isu berkenaan.

"Saya tertarik dengan ucapan presiden PAS yang mendakwa PH gagal tunaikan janji untuk hapuskan pinjaman PTPTN.

"Hakikatnya presiden PAS keliru. PH tidak janji hapus pinjaman PTPTN sebaliknya untuk tangguh pembayaran sehingga gaji cecah RM4,000 dan nyahsenaraikan nama peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam yang mengingatkan PH supaya tidak terus menumpukan usaha mencari kesalahan kerajaan sebelum ini sebaliknya mengotakan janji manifesto yang dibuat sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Anggota parlimen Marang itu mengambil contoh isu PTPTN yang menurutnya menyaksikan kegagalan PH menunaikan janji untuk menghapuskan pinjaman pendidikan itu.

Abdul Hadi berkata pendidikan percuma dapat diberikan kepada rakyat dengan mengenakan cukai kepada golongan berada.

"Dalam Islam pendidikan adalah percuma, pendidikan rukun hidup. Boleh ke percuma kerana ada negara buat pendidikan percuma.

"Bagaimana nak tampung adalah dengan ambil cukai daripada mereka yang berada, orang korporat yang berada, tangani maslaah rasuah. Kalau ia ditangani masalah ini pendidikan percuma dapat diteruskan," katanya.

Sementara itu, Mohd Hasbie berkata, janji untuk hapuskan pinjaman PTPTN hanyalah wujud dalam manifesto PAS bersama Gagasan Sejahtera pada PRU14 lalu.

"Pimpinan PAS dan para penyokong mereka kerapkali menghentam kerajaan PH kononnya tipu mahasiswa hidup-hidup untuk lupuskan pinjaman PTPTN.

"Realitinya janji itu tidak wujud pun dalam manifesto PH sebaliknya wujud dalam manifesto PAS dan Gagasan Sejahtera," jelasnya.

Justeru tegasnya, jika PAS benar-benar ikhlas untuk ringankan beban mahasiswa, mereka boleh laksanakan manifesto tersebut di Terengganu dan Kelantan terlebih dahulu.

"Ia bukan sukar apatah lagi kerajaan pusat sudah dan akan serahkan duit royalti petroleum kepada mereka," kata Mohd Hasbie.


Lihat Komen
ADS