Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: PH perlu tumpu kotakan janji, bukan cari kesalahan k'jaan dulu
Diterbitkan:  Mar 26, 2019 8:20 AM
Dikemaskini: 12:20 AM

PAS mengingatkan PH supaya tidak terus menumpukan usaha mencari kesalahan kerajaan sebelum ini sebaliknya mengotakan janji manifesto yang dibuat sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan PH sebagai gagal melaksanakan agenda rakyat.

“Kemenangan (PH) yang kita lihat banyak kelemahan-kelemahan yang mereka tak mampu kemukakan kepada rakyat.

“Jadi jawapannya kerajaan tak seharusnya sebut kesalahan kerajaan dulu, dia (PH perlu) betulkan apa yang salah dan perkara yang betul diteruskan,” katanya dalam forum Pembangunan Masyarakat Madani yang disiarkan secara langsung melalui Facebooknya, malam tadi.

Anggota Parlimen Marang itu juga mengambil contoh PH gagal melaksanakan janji untuk menghapuskan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurutnya, pendidikan percuma dapat diberikan kepada rakyat dengan mengenakan cukai kepada golongan berada.

“Dalam Islam pendidikan adalah percuma, pendidikan rukun hidup. Boleh ke percuma kerana ada negara buat pendidikan percuma.

“Bagaimana nak tampung adalah dengan ambil cukai daripada mereka yang berada, orang korporat yang berada, tangani maslaah rasuah. Kalau ia ditangani masalah ini pendidikan percuma dapat diteruskan,” katanya.

10 Nov lalu, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan yang juga penulis Buku Harapan memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat menunaikan janji berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi mereka yang bergaji bulanan bawah RM4,000 seperti yang diumumkan dalam manifesto PH.

Wan Saiful juga berkata pihaknya sudah cuba mencari mekanisme terbaik untuk merealisasikan manifesto PH sebelum ini, namun gagal.

Lihat Komen
ADS