Usaha mengekang fahaman radikal memerlukan peranan serta kerjasama semua pihak daripada setiap agama yang ada dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Muhajid Yusof berkata fahaman radikal jika tidak ditangani akan memberi ancaman kepada negara.

"Untuk melawan radikal bukan (orang) Islam sahaja tapi semua agama, dalam menghadapi radikal ini tidak boleh berat sebelah atau pilih kasih tapi kena lihat peranan semua agama," katanya di Parit Buntar hari ini.

Mujahid yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar bercakap kepada pemberita selepas meraikan kejayaan atlet cilik Perak Mohammad Firdaus Zulkifli yang muncul juara pertandingan Muay Thai Dunia ke-16 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Selain itu, kata Mujahid kerajaan akan menghidupkan kembali fungsi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama bagi membendung fahaman radikal yang boleh menggugat keselamatan negara.

Muhajid berkata usaha tersebut dibuat agar jawatankuasa itu yang diwujudkan sejak 2010 dapat memainkan peranan menanam semangat cintakan kedamaian dalam kalangan rakyat pelbagai agama.

“Jawatankuasa itu akan membincangkan kaedah terbaik untuk mendepani sebarang bentuk fahaman radikal agama yang menular dan memberi ancaman kepada negara di samping membudayakan kedamaian sebagai asas kehidupan bersama,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan maklumbalas dan pengesahan mengenai kedudukan sesuatu fahaman yang dibawa oleh pihak tertentu.

“Sekiranya fahaman itu didapati menyalahi agama Islam dan berupaya menggugat keamanan, kerajaan akan menegur dan memantau pergerakan itu manakala bagi aspek keamanan dan keselamatan ia masih dikendalikan oleh polis,” katanya.

- Bernama