Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MOTAC cadang buka semula pejabat Tourism Malaysia di lima negeri

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bercadang membuka semula Pejabat Tourism Malaysia di lima negeri yang kini berfungsi sebagai Pusat Penerangan Pelancongan, kata Menterinya, Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata langkah itu bertujuan menyelaras usaha dan memberi fokus menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Katanya lima negeri berkenaan ialah Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

"Kita melihat terdapat keperluan untuk membuka semula lima Pejabat Tourism Malaysia yang sebelum ini telah ditukar fungsinya sebagai Pusat Penerangan Pelancongan dan perbincangan secara terperinci sedang dilakukan bersama kerajaan negeri terlibat.

Penutupan lima Pejabat Tourism Malaysia sebelum ini dilakukan atas faktor dakwaan bahawa terdapat pertindihan tugas dan peranan dengan agensi pelancongan negeri tetapi sebaliknya ia tidak berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kraf Melaka 2019 di Dataran Taming Sari di Melaka, hari ini.

Festival Kraf Melaka 2019 yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini disertai 63 usahawan kraf daripada pelbagai bidang termasuk tekstil, hasil rimba, tanah, logam dan aneka kraf.

Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Ketua Setiausaha MOTAC, Isham Ishak.

Mengulas lanjut, Mohamaddin berkata kementerian juga sedang giat melakukan pelbagai promosi sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di luar negara termasuk di London dan Berlin.

Sementara itu, beliau berkata industri kraftangan negara mencatatkan nilai jualan sebanyak RM506.5 juta pada tahun lepas menerusi jualan produk kraf tempatan.

"Pada tahun ini, juga kita menyasarkan nilai jualan kraf sekitar RM500 juta dan memberi fokus pada produk berkualiti," katanya.

Terdahulu, beliau turut melancarkan Pertandingan Mereka Batik Malaysia sempena Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 bermula hari ini sehingga 24 Mei depan.

Katanya pertandingan itu terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas sama ada individu atau berkumpulan dan ia mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.


-- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS