Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nga: KJ biadab panggil speaker 'Taliban', perlu mohon maaf
Diterbitkan:  Mar 28, 2019 3:07 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming menyifatkan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin sebagai "biadab" kerana memanggilnya 'Taliban'.

Dalam kenyataan media hari ini, Nga menggesa Khairy memohon maaf.

"Khairy wajib memohon maaf kepada parlimen atas sikap biadab beliau memanggil Speaker Dewan Rakyat 'Taliban'. Akibat dari kenyataan Khairy ini, dewan menjadi kecoh dan akhirnya beliau terpaksa menarik balik tuduhan yang tidak senonoh ini.

"Adalah jelas tindakan Khairy telah melanggar peraturan mesyuarat serta merupakan tindakan menghina Majlis Mesyuarat secara terbuka.

"Walaupun beliau kemudian terpaksa akur dengan perintah speaker dan menarik balik tohmahan 'Taliban', tetapi kelakuannya yang tidak senonoh ini dengan ketara telah mencemarkan imej Dewan Rakyat yang mulia," katanya.

Jelas Nga, tindakan Khairy itu merupakan yang pertama dalam sejarah parlimen terhadap speaker Dewan Rakyat.

"Demi membela martabat institusi parlimen, Khairy wajib memohon maaf segera.

"Kegagalan membuat demikian akan mencerminkan watak beliau sebagai seorang wakil rakyat dan pengundi Rembau harus menegur tingkah laku yang tidak senonoh serta melanggar tata susila ini," tambahnya.

Terdahulu, Khairy menggunakan istilah itu terhadap Nga pada sesi soal jawab di parlimen.

Nga sebelum itu meminta Khairy menjelaskan soalannya yang diajukan kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung Bantuan Sara Hidup (BSH).

Bagaimanapun, Khairy berkata: "Adakah sempena dengan PRK Rantau, ada masalah komprehensi, Taliban?"

Khary selepas itu menarik balik kenyataannya selepas diminta berbuat demikian.

Istilah 'Taliban' sebelum ini turut mengundang kontroversi selepas ia digunakan oleh Nga apabila berkata bahawa negara ini akan menjadi "negara Taliban" sekiranya pakatan Umno-PAS berkuasa.

Nga mempertahankan kenyataannya dan enggan memohon maaf.

Susulan itu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata beliau telah mengarahkan sebuah firma guaman untuk mengambil langkah berhubung kenyataan ahli parlimen Teluk Intan itu.

Lihat Komen
ADS