Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kubur Wang Kelian: Laporan Suhakam boleh bantu RCI, kata menteri

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata laporan Suhakam berhubung pembunuhan beramai-ramai di Wang Kelian mungkin berguna untuk membantu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang sedang berlangsung.

Bagaimanapun, beliau berkata, terpulang kepada RCI untuk menerima laporan berkenaan.

Muhyiddin berkata demikian selepas enggan mengulas mengenai laporan  Suhakam bahawa polis hanya menghantar pasukan forensik untuk mengeluarkan mayat di tapak kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian pada Mei 2015, empat bulan selepas kubur-kubur itu ditemui.

"Setakat hari ini, saya belum lagi nak komen. Pasal itu satu siasatan yang dibuat oleh satu badan seperti Suhakam. Dia mungkin ada maklumat atau asas (berhubung dakwaan penemuan).

"Tapi kita telah bentuk satu RCI Wang Kelian, yang saya kira telahpun menjalankan tugas hampir tiga minggu. Kita bagi tempoh enam bulan.

"Walaupun Suhakam dah buat dia punya finding (penemuan) dan sebagainya, saya fikir saya tak boleh mendahului apa hasil yang dicapai dalam saisatan yang dibuat oleh RCI Wang Kelian ini," katanya kepada media selepas penutupan pertandingan golf di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengalu-alukan laporan yang dibuat Suhakam.

"Sementara itu, tak apa lah. Kalau dah ada laporan, mungkin kita boleh gunakan sebagai asas, dan sama ada RCI mahu merujuk kepada finding yang dibuat oleh Suhakam, itu terserah pada mereka (RCI).

"Mesti ada asas atau kriteria tertentu yang digunakan untuk menentukan maklumat yang sahih, ada asas yang kukuh, dan sebagainya," katanya.

RCI Wang Kelian yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim Arifin Zakaria dijangka membentangkan laporan pada Jun.

Pada 2015, media melaporkan penemuan 139 kubur besar dan 106 mayat yang dipercayai milik warga Rohingya, dan 29 kem tahanan pendatang tanpa izin di hutan di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.

Pihak berkuasa Malaysia setakat ini hanya menghukum empat warga asing yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia, sementara pihak berkuasa Thailand sudah mendakwa 64 individu, termasuk sembilan penjawat awam.

Rabu lalu, Suhakam menerbitkan laporan setebal 121 muka surat berhubung kejadian itu. Laporan itu mendakwa 170,000 warga Rohingya dan Bangladesh diseludup melalui sempadan Malaysia-Thailand, sekitar 2012 hingga 2015.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS