Syarikat GETS Global Berhad (GETS Global) yang sebelum ini mengalami kerugian mencatat kenaikan saham lebih 173 peratus petang ini selepas Mirzan Mahathir dilantik sebagai pengarah bebasnya.

Mirzan merupakan anak sulung Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Setakat 3.35 petang, Bursa Malaysia menunjukkan saham syarikat bas ekspres itu melonjak 22.5 sen kepada 35.5 sen bagi satu unit saham.

Pada pukul 11 pagi tadi, saham syarikat itu mencecah 37.5 sen seunit.

Saham ditutup hari ini pada kadar 33.5 sen, iaitu meningkat 158 peratus dari 20.5 sen sebelum ini.

Sejumlah 59.76 juta unit saham bertukar tangan sejak pasaran dibuka 9 pagi tadi, yang menjadikan GETS Global sebagai kaunter kelima paling aktif hari ini.

Syarikat itu sebelum ini mengalami kerugian selama enam suku berturut-turut, dan baru-baru ini kerugian RM1.35 juta dalam suku kedua yang berakhir 31 Dis 2018.

Tahun sebelum ini, harga sahamnya hanya kukuh 6.82 peratus, lapor The Star.

GETS Global semalam melantik Mirzan sebagai pengarah bukan eksekutif dan bebas".

Bloomberg menggambarkan syarikat itu sebagai syarikat pelaburan yang menyediakan perkhidmatan bas ekspres. Ia juga menghasilkan dan memasang peralatan alat penghawa dingin untuk bas.

Berpusat di Kamunting, Perak, syarikat itu sebelum ini dikenali sebagai KBES Berhad (Konsortium Bas Ekspres Semenanjung).

Mirzan ketika ini adalah pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat peneroka modal Crescent Capital Sdn Bhd.

Beliau juga memegang jawatan pengarah di beberapa syarikat awam dan swasta termasuk Petron Corporation.

[Baca berita asal]