Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan salah laku hakim: Perlu ikut proses tubuh RCI, kata Azmin

Ada proses tertentu yang harus dilalui sebelum menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan salah laku dalam kehakiman, kata Mohamed Azmin Ali

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya perkembangan RCI berkenaan yang penubuhannya sudah dipersetujui kabinet bulan lalu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 21 Feb lalu berkata, kabinet bersetuju menubuhkan RCI untuk mengkaji dakwaan berkenaan yang dibangkitkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

"Ada prosesnya (yang perlu dilalui)," katanya menjawab soalan berhubung perkembangan RCI itu.

Kabinet pada 14 Feb lalu bersetuju dengan penubuhan RCI menyiasat dakwaan yang dibangkitkan Hamid dalam afidavitnya yang antara lain mendakwa terdapat hakim yang membantu pihak swasta untuk menipu kerajaan.

Penipuan itu dikatakan dilakukan melalui ahli politik yang mendapatkan kontrak dengan kerajaan. Setelah kerajaan membatalkan projek itu, dakwa Hamid, pihak swasta akan menyaman kerajaan untuk mendapatkan pampasan.

Dua minggu lalu, peguam yang juga anak perempuan mediang Karpal Singh memberitahu media bahawa dia akan menulis surat kepada Peguam Negara Tommy Thomas untuk mengetahui status cadangan penubuhan RCI untuk menyiasat dakwaan Hamid.

Sangeet, yang bergantung kepada afidavit Hamid untuk menyokong samannya terhadap ketua hakim negara berkata, RCI berkenaan penting bagi membantunya memutuskan tindakan yang perlu diambil berhubung saman yang difailkannya.

Dalam samannya, Sangeet menuntut pengiktirafan bahawa ketua hakim negara - yang tidak dinamakan dalam saman pemulanya - gagal mempertahankan integriti dan kredibiliti kehakiman kerana tidak melengkapkan siasatan berhubung dua dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS