Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang, Malaysia telah menukar syarat bagi pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG).

Menurut lembaga berkenaan, pemegang UEC perlu lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran pada tahap Senior Middle 3 dan memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat SPM atau O-Level atau yang setaraf.

Sebelum ini, lembaga berkenaan pada 5 Jun tahun lalu memutuskan bahawa syarat menduduki PSAG bagi pemegang sijil kelayakan UEC adalah perlu memenuhi salah satu syarat berikut:

- memperoleh sekurang-kurangnya tiga kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); atau,

- lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran di peringkat STPM / A-Levels

Pengerusi lembaga itu, Tommy Thomas yang juga merupakan peguam negara berkata, perubahan itu dibuat sebagai respons terhadap representasi daripada pelbagai pihak.

Antara lain, lembaga itu berkata ia mendapat maklumat daripada beberapa universiti di UK mengenai penerimaan sijil kelayakan UEC sebagai syarat kelayakan untuk kemasukan ke program ijazah Sarjana Muda Undang-Undang [LLB(Hons)].

Selain itu, lembaga itu juga berkata, ia mendapat penjelasan daripada United Chinese School Comittees' Association of Malaysia (Dong Zong).

"Hasil daripada itu, lembaga kini berpuas hati bahawa kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat STPM bagi tujuan menduduki PSAG," kata Thomas dalam kenyataan medianya.

Untuk rekod, undang-undang menetapkan agar lembaga itu melantik peguam negara sebagai pengerusinya.

Syarat terbaru untuk menduduki PSAG itu hanya akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2021.