Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sekumpulan penduduk Seksyen 5 Petaling Jaya mengadu terganggu dengan bunyi bising dari landasan transit aliran ringan (LRT) berdekatan kediaman mereka.

Penduduk mendakwa terpaksa berdepan dengan masalah itu setelah kemudahan pengangkutan awam tersebut mula beroperasi beberapa tahun lalu.

Wakil penduduk, Ruban Chelliah berkata, bunyi yang didengari itu sangat kuat kerana lokasi landasan tersebut hanya terletak 20 meter dari kediamannya.

“Kami rasa terganggu terutama pada waktu puncak LRT beroperasi dan bunyi bising hampir setiap 5 minit,” kata Ruban.

Seorang lagi penduduk, Angeline Chelliah pula menggesa syarikat Prasarana Malaysia Berhad agar mengambil langkah untuk menambah baik penghadang bunyi di kawasan perumahan mereka.

“Penghadang bunyi ada tapi hanya dipasang separuh jalan, ia (penghadang bunyi) tidak sampai ke kawasan perumahan kami,” katanya.

Menurut Angeline, penghadang tersebut dipasang sehingga Jalan 5/19C sahaja.

“Apa yang yang kami harapkan supaya penghadang dipasang sehingga ke kawasan perumahan di Jalan Gasing.

“Ini akan membuatkan kawasan tersebut juga boleh dilindungi dari gangguan bunyi bising,” tambahnya ketika ditemui Malaysiakini.

Antara landasan yang melintasi kawasan kediaman mereka adalah landasan LRT Taman Jaya dan Universiti.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak syarikat Prasarana Malaysia Berhad untuk mendapatkan komen dan masih menunggu respons.

Lihat Komen
ADS