Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Amanah sahkan Mohd Nor ahli parti, cadang pecat
Diterbitkan:  Mar 30, 2019 7:57 PM
Dikemaskini: 11:57 AM

PRK RANTAU | Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir tampil mengesahkan Mohd Nor Yassin yang bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil (PRK) Rantau sebagai ahli partinya.

"Berdasarkan semakan keahlian, diakui beliau merupakan ahli Amanah yang masih baru menyertai parti ini.

"Menurut tatacara Perlembagaan Amanah, Jawatankuasa Pengurusan Amanah akan mencadangkan pemecatan keahlian Mohd Nor kepada Jawatankuasa Tatatertib Parti kerana telah bertanding tanpa menerima watikah perlantikan calon daripada parti," katanya.

Terdahulu, kekeliruan timbul selepas Mohd Nor menafikan kenyataan media PAS yang mendakwa beliau sudah menyertai Amanah pada 10 Mac lalu.

"Saya tak dapat maklumat itu (bahawa saya ahli Amanah). Saya masih ahli PAS," kata Mohd Nor ketika diminta mengulas perkara itu.

Susulan itu, Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abd Ghani tampil mengesahkan bahawa Mohd Nor merupakan bekas ahli PAS yang sudah menyertai Amanah.

Mohamad Taufek juga tidak menolak kemungkinan Mohd Nor yang bertanding sebagai calon bebas pada PRK Rantau cuba "mensabotaj" PH.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Anuar turut menegaskan bahawa ahlinya hanya diarahkan membantu kempen calon PH Dr S Streram.

"Sementara menanti keputusan Jawatankuasa Disiplin Parti, semua ahli dan penyokong Amanah yang bertugas dalam PRK N.27 Rantau adalah dengan ini diarahkan hanya membantu kempen calon daripada PH iaitu Streram," katanya.

Mohd Nor, 66 pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 bertanding sebagai calon PAS bagi kerusi dewan undangan negeri Gemencheh di Negeri Sembilan.

Bekas pensyarah itu tewas di kerusi itu dengan beza 3,025 undi selepas meraih 4,757 undi berbanding calon BN Mohd Isam Mohd Isa yang meraih 7,782 undi.

Mohd Nor hari ini tampil menyerahkan borang pencalonan untuk PRK Rantau sebagai calon bebas.

Selain Mohd Nor, turut bertanding sebagai calon bebas ialah, R Malar yang merupakan penganjur program kemasyarakatan

Dua calon lain ialah dari PH Dr S Streram dan calon BN yang juga Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

PRK Rantau akan diadakan pada 13 April ini.

Lihat Komen
ADS