Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bomba: Pencarian Acap diteruskan dalam skala kecil

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau panggilan mesra Acap, meskipun pihak lain telah menghentikannya.

Ketua Pengarah JPBM, Mohammad Hamdan Wahid berkata pencarian itu tidak mempunyai tempoh tertentu, tetapi ia dilakukan dalam skala yang kecil sahaja.

“Walaupun ada agensi lain yang akan menamatkan SAR hari ini, tetapi bomba akan teruskan sehingga mangsa ditemui. Pencarian melibatkan skala kecil dan bergantung kepada keadaan semasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis Kempen Keselamatan Kebakaran Peringkat Negeri Terengganu tahun 2019 di Pulau Perhentian hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mantek.

Pada 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf yang juga dikenali sebagai Acap berasal dari Muar, Johor, disedari hilang selepas beliau tidak tiba di garisan penamat meskipun pada mulanya berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25 kilometer.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS