Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

PRK RANTAU | Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu pilihan raya kecil (PRK) Rantau yang akan ditandingi timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mencatatkan kemenangan hatrik atau yang ketiga buat BN.

“Saya mahu Rantau ini menjadi istilah bola sepak hatrik bagi kita. Jaringan tiga gol oleh seorang pemain dalam satu perlawanan. Penjaringnya tak lain tak bukan Tok Mat (Mohamad).

“Beliau ambil alih sebagai presiden menang di Cameron Highlands, menang Semenyih. Lengkapkan hatrik di Rantau. Boleh?” soalnya disambut kira-kira 150 hadirin yang hadir dalam ceramah sulung BN sempena PRK Rantau di pusat daerah mengundi (PDM) Pekan Saga, malam ini.

Jelas Khairy, jumlah kehadiran penyokong BN mengiringi Mohamad di pusat penamaan calon pagi tadi sudah memberi gambaran "kemenangan awal" buat BN.

Bekas menteri belia dan sukan itu juga menolak tanggapan yang melihat PRK Rantau sebagai PRK kecil.

"PRK Rantau ini bukan kecil tapi besar maknanya kerana calon yang bertanding di sini bagi pihak BN.

“Kali ini dia sudah sampai tahap nasional, kerana yang bertanding ini ialah pemangku presiden Umno dan juga pengerusi BN,” katanya.

Lawan taiko BN

Khairy turut membandingkan kehadiran ramai pemimpin kanan PH pada penamaan calon pagi tadi berbanding ketika penamaan calon di PRK Semenyih.

“Tadi siapa yang hadir? (Presiden PKR) Anwar Ibrahim, (timbalan Perdana Menteri) Wan Azizah Wan Ismail, (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin, (pemimpin Amanah) Mujahid Yusof Rawa, dan Anthony Loke dari DAP.

“Semua ada kerana mereka tahu, walaupun nama pilihan raya kecil, tapi yang lawan ini adalah 'taiko' dari Umno BN.

“Bagi mereka, kalau kita dapat kalahkan Tok Mat di Rantau, kepala sudah dipotong. Sebab itu, kita jangan sekali benarkan kepala kita dipotong.

“Ini maruah Umno, maruah BN. Kita pastikan kemenangan Tok Mat di Rantau ini. Boleh?” katanya disambut sorakan "boleh" oleh hadirin.

PRK Rantau merupakan PRK ketujuh selepas pilihan raya umum (PRU) tahun lalu.

PH menang empat PRK, sementara BN mencatat kemenangan berturut-turut dalam dua PRK sebelum ini iaitu di Cameron Highlands dan Semenyih.

PRK Rantau yang akan diadakan 13 April ini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Mohamad akan berhadapan dengan calon PH iaitu Dr S Streram, dan dua calon bebas iaitu R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Lihat Komen
ADS