Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ 'lebih kenal' Taliban
Diterbitkan:  Mar 31, 2019 10:25 AM
Dikemaskini: 2:35 AM

Bekas ketua pemuda Umno malam tadi mempertahankan partinya - yang kini bekerjasama dengan PAS - daripada dikaitkan dengan Taliban.

Menurut Khairy Jamaluddin Abu Bakar beliau kenal kumpulan yang pernah mentadbir Afghanistan itu dan kerjasama Umno dengan PAS tidak akan membawa negara ini seperti dibawah kuasa Taliban.

Kata Khairy beliau mengenali Taliban kerana pernah bertemu dengan kumpulan itu suatu ketika dulu.

Menurut anggota parlimen Rembau itu, beliau menemui Taliban semasa bertugas sebagai wartawan sebuah majalah di London pada 1999.

"Saya tahu tentang Taliban. Ini bukan kerana saya Taliban. Saya pernah jumpa Taliban dulu.

"Cara pemerintahan Taliban memang ekstrem bukan macam di sini, jauh beza nak bandingkan dengan kami," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Sebelum ini Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming menyifatkan kerjasama PAS dan Umno yang sedang berlangsung kini akan membawa negara ke arah pemerintahan ala Taliban.

Beberapa pemimpin DAP turut menyokong dakwaan Nga.

Nga yang juga anggota parlimen Teluk Intan dan timbalan speaker Dewan Rakyat mempertahankan kenyataannya dan enggan memohon maaf.

Pada 28 Mac lalu, semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Khairy menggunakan istilah Taliban merujuk Nga selepas diminta menjelaskan soalan yang ditujukannya buat Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika menyentuh soal Bantuan Sara Hidup (BSH).

Lihat Komen
ADS