Draf RUU majlis media perlukan pandangan awam
Kumpulan petugas mewakili penerbit dan pengarang tempatan sudah menyusun rang undang-undang (RUU) untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia, dan kini sedang cuba mendapatkan maklum balas orang ramai.
Draf RUU itu sebagai respons susulan cadangan kerajaan untuk majlis media ditubuhkan agar industri media dapat diselaraskan oleh pengamal media sendiri dan pada masa sama tidak dikekang undang-undang seperti Akta Penerbitan dan Percetakan 1984.
Kumpulan petugas berkenaan yang terdiri daripada individu dari media cetak, dalam talian dan penyiaran sudah bermesyuarat sejak Ogos lalu dan mencapai persetujuan untuk penubuhan sebuah majlis media yang bebas, tidak berpihak dan boleh memantau diri sendiri.
Usul ketika ini menyatakan agar kakitangan dari tiga sektor - industri media, wartawan, dan organisasi media - memilih 20 ahli eksekutif jawatankuasa. Exco kemudian akan mencalonkan pengerusi dan empat ahli tambahan mewakili kumpulan yang menjaga kepentingan awam. Pengerusi itu perlulah bukan anggota parti politik atau kerajaan.
Majlis media yang dicadangkan ini akan mewujudkan kod etika merangkumi kewartawanan profesional dan platform aduan yang membolehkan orang awam membuat aduan berhubung laporan yang melanggar kod etika berkenaan.
Seperti di negara lain, tujuan utama majlis media ini adalah untuk membolehkan wartawan mempunyai kawalan yang lebih luas dalam tugas mereka, selain bagi meningkatkan kualiti kewartawanan.
"Salah satu sebab utama penubuhan majlis media ini adalah untuk memastikan kerajaan tidak mengawal media.
"Kita mahukan proses ini menjadi seinklusif mungkin, maka kita mahu mendapatkan pandangan orang ramai berhubung usul itu. Memastikan agar wartawan dapat melakukan tugas tanpa gentar atau berpihak adalah penting untuk rakyat Malaysia," kata Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan.
Perbincangan tentang majlis media bukan sesuatu yang baru. Sebuah laporan dan draf dikemukakan oleh Institut Percetakan Malaysia pada 2001. Bagaimanapun, langkah berkenaan dibatalkan selepas kerajaan memutuskan tidak bersetuju menukar undang-undang yang mengekang media.
"Kita sudah bercakap tentang majlis media selama berdekad. Saya gembira ia kini sedang dimulakan dan kita (pengamal media) dapat pantau diri sendiri. Pengamal media sepatutnya dihakimi oleh pengamal media," kata ketua pegawai kandungan Star Media Group Esther Ng.
"Sudah sekian lama kami (pengamal media) mahu memantau diri sendiri. Saya harap industri mengambil peluang ini untuk memastikannya direalisasikan," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang The Malaysian Insight, Jahabar Sadiq.
Kumpulan petugas itu kini mahu mendapatkan maklum balas berhubung usul berkenaan dalam tempoh empat minggu ini.
Draf rang undang-undang itu boleh dibaca di http://bitly.com/mediacouncil2019
Maklum balas boleh dihantar ke alamat e-mel mediacouncil2019@gmail.com sebelum 28 April 2019.
Pandangan orang ramai akan diambil kira dalam rang undang-undang itu.
Draf berkenaan dijangka dikemukakan kepada kerajaan pada penghujung April, bersama cadangan lain yang disediakan oleh badan dan kumpulan awam.

