Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Idris nak 'sponsor' 2 ekor kambing jika BN menang 300 undi

PRK RANTAU | Bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron malam tadi berjanji akan menghadiahkan dua ekor kambing untuk dibuat kenduri jika BN menang di sebuah daerah mengundi dalam kawasan pilihan raya kecil DUN Rantau.

Berucap di hadapan pengundi di daerah mengundi Taman Angsamas, Idris berkata kenduri itu akan diadakan jika calon BN, Mohamad Hasan mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram dengan 300 undi.

Berdasarkan data peringkat parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), BN sebelum ini tewas kepada PKR di Angsamas dengan majoriti 22 undi.

"Kalau menang 300 undi saya datang, saya sponsor dua ekor kambing untuk kenduri di Taman Angsamas," kata Idris.

Menyedari kenyataannya mungkin merupakan satu kesalahan pilihan raya, Idris bagaimanapun berkata kenduri itu tidak akan diadakan pada masa ini.

"SPR ada SPR? SPR bukan saya bagi sekarang tahu. Bukan saya bagi kambing sekarang kemudian undi Tok Mat, tidak.

"Bila dah undi Tok Mat nanti, bila dah menang (baru bagi). Saya datang balik, saya bawa dua ekor kambing siap dengan janggut," katanya.

Di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya, adalah merupakan suatu kesalahan untuk menjamu seseorang sama ada sebelum, semasa atau selepas pilihan raya.

Jika sabit kesalahan ia boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM1,000 dan RM5,000.

Sebelum ini, Anggota Parlimen Miri, Michael Teo dikritik selepas memberikan kupon makanan bernilai RM75,000 kepada 300 pelajar sekolah di Rantau, Khamis lepas.

Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom berkata perbuatan itu boleh dianggap sebagai rasuah jamuan pilihan raya.

Bagaimanapun SPR berkata tindakan Teo itu agak kabur dari segi undang-undang kerana peraturan tidak menjelaskan takrifan maksud "sebelum" pilihan raya.

Idris bercakap di hadapan kira-kira 150 orang di Taman Angsamas, yang menurutnya tidak cukup untuk memenangkan BN dengan majoriti 300 undi di situ.

"Kena telefon anak-anak, balik jangan undi steroid, - eh apa nama dia? Streram. Steroid pula. Streram. Dia pun suka ejek orang kan," katanya merujuk kepada S Streram.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru yang melibatkan Streram, Mohamad dan dua calon bebas, R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Kerusi itu kosong selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan untuk mengisytiharkan kemenangan Mohamad pada PRU lepas sebagai terbatal.

Ini berpunca daripada tindakan pegawai SPR menghalang Streram daripada memfailkan kertas pencalonannya pada pilihan raya umum 2018.

Lihat Komen
ADS