Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Darell Leiking yang kini dalam misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat (AS) mulai Semalam, mengukuhkan hubungannya dengan rakan sejawatan dari negara itu.

Menteri itu bertemu Setiausaha Perdagangan AS, Wilbur Ross, Timbalan Penolong Presiden bagi Ekonomi Antarabangsa merangkap Timbalan Pengarah Majlis Ekonomi Negara, Clete Willems serta Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer di Washington DC.

"Pertemuan itu telah memberi ruang untuk bertukar-tukar pandangan bagi meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan, serta memahami kebimbangan utama ekonomi kedua-dua negara,” kata MITI dalam kenyataan hari ini.

 Darell juga bertemu wakil dari lebih 26 syarikat dalam satu perbincangan meja bulat, yang dihoskan oleh Majlis Perniagaan AS-ASEAN dan Dewan Perniagaan AS, dan mengadakan mesyuarat berasingan dengan syarikat dari industri kimia dan aeroangkasa.

"AS berminat untuk memahami dasar perdagangan dan perniagaan Malaysia, serta pendirian negara dalam pelbagai bidang, daripada perjanjian perdagangan bebas, penjagaan kesihatan, ekonomi digital, e-dagang sehinggalah kepada logistik," kata MITI.

Misi perdagangan dan pelaburan enam hari ke AS itu, termasuk lawatan ke Washington DC, New York, Seattle, San Jose dan San Francisco, bermula 1 April.

Pada 2018, AS kekal sebagai negara perdagangan utama Malaysia di rantau Amerika Utara dan rakan perdagangan ketiga terbesar di dunia dengan perdagangan bernilai RM155.68 bilion (US$ 38.57 bilion atau 8.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia).

Eksport negara ke Amerika Syarikat berjumlah RM90.73 bilion (US$22.48 bilion) tahun lepas, manakala import berada pada RM64.94 bilion (US$16.08 bilion), dipacu oleh barangan pembuatan.

Dari segi projek yang dilaksanakan, AS kekal sebagai pelabur kedua terbesar di Malaysia dalam sektor seperti elektrik dan elektronik, peranti perubatan, tenaga boleh baharu dan aeroangkasa, dengan pelaburan bernilai RM74.01 bilion (US$ 21.86 bilion).

Syarikat-syarikat Malaysia juga telah berjaya meneroka pasaran Amerika Syarikat dalam pelbagai sektor, termasuk hiburan, oleokimia, pembungkusan industri, perabot dan perbankan.

- Bernama