Lelaki OKU disyaki giat pecah rumah ditahan polis
Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai terlibat secara aktif dalam beberapa kes pecah rumah serta mencuri motosikal di sekitar kawasan Parit dan Bota, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata suspek berumur 32 tahun dan kudung kaki kanan itu ditahan di hadapan sebuah kedai di Jalan Tun Razak, Ipoh kira-kira jam 12.15 tengah malam.
Katanya orang kelainan upaya (OKU) itu dipercayai melakukan kegiatan pecah rumah secara bersendirian sejak sebulan lalu.
“Penahanan suspek membawa kepada rampasan sebuah motosikal Honda EX-5, dua jam tangan berlainan jenama, sebilah gunting, dua playar muncung berhulu plastik, satu playar berhulu besi dan sebilah pisau pemotong sayur.
"Hasil semakan turut mendapati suspek mempunyai lapan rekod kesalahan lampau termasuk Seksyen 15(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Zainal saringan awal air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah.
Katanya kes itu akan disiasat mengikut mengikut Seksyen 379 A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain Mohamad Zainal berkata, 111 individu ditahan dalam operasi membanteras penagih dan penyalahgunaan dadah di sekitar Perak Tengah sepanjang bulan lalu.
Katanya tiga daripada mereka ialah pengawal keselamatan sebuah sekolah berusia antara 21 dan 27 tahun yang didapati positif dadah jenis methaphatemine.
- Bernama

