Cubaan lelaki Thai seludup 1 tan daun ketum gagal
Tentera Thailand hari ini menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun dan merampas satu tan daun ketum bernilai kira-kira RM50,000, dipercayai diseludup dari Malaysia.
Ketua Tentera Infantri Ke-5 Kapten Boontom Wankeaw berkata lelaki berasal dari Yala, memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan nombor plat pendaftaran Malaysia dalam keadaan yang mencurigakan di Batu 28, Kg Muang Tonthong, Mukim Samnak Kham, Sadao, kira-kira 10 pagi (waktu tempatan),
Beliau berkata anggota tentera yang membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu kemudian menemukan sejumlah beg plastik mengandungi daun ketum.
“Lelaki itu mengaku menyeludup daun ketum dari Malaysia untuk dijual kepada pengedar di daerah Sadao dengan harga 300 hingga 400 bath (RM39 hingga RM52) sekilogram,” katanya kepada pemberita di Songkla hari ini.
Beliau menambah bahawa lelaki itu kini ditahan di Balai Polis Sadao untuk siasatan lanjut.
- Bernama

