Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan polis terhadap timbalan menteri 'tiada tindakan lanjut'

Laporan polis terhadap Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang didakwa mengancam orang awam ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands diklasifikasikan sebagai "tiada tindakan lanjut" (NFA).

"Penemuan awal oleh pegawai penyiasat telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.

"Memandangkan hanya terdapat pertikaman lidah, dan tidak ada kata-kata ancaman, tidak ada pergaduhan dan tiada kecederaan di antara kedua-dua pihak yang terlibat, jadi kes itu adalah NFA," kata seorang pegawai polis kepada Malaysiakini pada Isnin.

Polis juga mengatakan laporan berasingan yang mendakwa Tengku Zulpuri menyalahgunakan jentera kerajaan semasa kempen itu juga telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

Penemuan awal siasatan, kata mereka, dirujuk kepada timbalan pendakwa raya, tetapi didapati Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 tidak terpakai bagi penggunaan kenderaan semasa tempoh berkempen.

Oleh itu, kes itu dikelaskan sebagai "dirujuk kepada agensi lain" oleh timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya oleh SPRM.

Kedua-dua laporan itu dibuat oleh calon BN di Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor (bawah), yang kemudiannya memenangi pilihan raya kecil itu pada 21 Jan.

Dalam satu laporan, Ramli mendakwa Tengku Zulpuri memberhentikan kenderaa yang dinaiki beliau dan pembantunya pada 20 Jan.

"Kami disekat di pertengahan jalan oleh seorang lelaki yang berdiri di tengah jalan. Apabila kami berhenti, kami disapa secara agresif dengan nada kasar meminta kami menyerahkan telefon bimbit salah seorang pembantu saya.

"Bagi meredakan keadaan saya turun daripada kenderaan dan saya menyedari lelaki tersebut ialah Tengku Zulpuri.

"Berlaku provokasi di mana beliau (Tengku Zulpuri) memanjat kenderaan saya dengan tujuan merampas telefon bimbit pembantu saya. Beliau turut mengeluarkan kata-kata secara kasar terhadap penumpang dan pemandu," dakwa Ramli dalam laporan polis itu.

Satu lagi laporan polis dibuat Ramli mendakwa Tengku Zulpuri menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan Pahang untuk tujuan kempen.

Laporan polis itu dibuat selepas gambar kenderaan yang dipasang dengan bendera Pakatan Harapan itu beredar di media sosial.

Kerajaan negeri Pahang mengesahkan bahawa kenderaan itu milik Jabatan Perhutanan negeri dan menuntut semula kenderaan tersebut.

Lihat Komen
ADS