Jawatankuasa Kaukus Parlimen Pemantaun Lynas (JKPPL) membidas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Md Yusof yang membenarkan kilang penapisan nadir bumi Lynas Corporation Ltd terus beroperasi sebagai salah satu usaha kerajaan untuk menarik pelaburan asing ke negara ini.

Jawatankuasa itu menyifatkan kenyataan Redzuan bercanggah dengan pendirian yang diambil oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

"Kenyataan ini (Redzuan) amat mengejutkan dan ternyata bercanggah dengan pendirian dan keputusan Kementerian serta termasuklah sebahagian besar Ahli-ahli Parlimen yang merupakan pembuat-pembuat dasar.

"Kami berdiri teguh menyokong pendirian Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengenai pengurusan dua sisa utama kilang itu," kata jawatantkuasa itu yang merujuk kepada pengurusan dua residu iaitu buangan pepejal, Water Leach Purification (WLP) dan buangan terjadual, Neutralization Underflow Residue (NUF).

“Kami bertegas operasi kilang Lynas tidak boleh diteruskan selagi syarat-syarat pengurusan sisanya tidak dipatuhi seperti yang telah ditetapkan,” tambahnya lagi.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Anggota Parlimen Bentong Wong Tack, dengan Anggota Parlimen Merbok Nor Azrina Surip sebagai timbalannya mengeluarkan kenyataan bantahan itu malam tadi.

Kaukus itu juga terdiri daripada Anggota Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus, Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Anggota Parlimen Kluang Wong Shu Qi, Anggota Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai, Anggota Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong, Anggota Parlimen Gerik Hasbullah Osman dan Anggota Pendang Awang Hashim.

Ia ditubuhkan pada bulan November lalu untuk meneliti laporan kajian kerajaan mengenai operasi Lynas.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebelum ini mengarahkan penapisan nadir bumi di Gebeng untuk mengeluarkan sisa WLP dari negara itu, dan menyediakan satu pelan tindakan bagaimana residu NUF akan ditangani.

Daripada kedua-dua aliran buangan, residu WLP mengandungi bahan radioaktif secara semula jadi yang dikawal oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, manakala residu NUF adalah sisa berjadual yang dikawal oleh Jabatan Alam Sekitar.

Redzuan, Sabtu lalu berkata keputusan kabinet membenarkan kilang nadir bumi itu terus beroperasi.

"Keputusan kabinet adalah jelas, yang membolehkan Lynas beroperasi. Sisa adalah perkara yang berasingan untuk ditangani.

"Tidak ada keputusan secara kolektif oleh kerajaan untuk menghantar balik sisa itu ke Australia, kita harus mempunyai pemahaman dua hala," katanya kemudian kepada pemberita.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kabinet akan membuat keputusan mengenai operasi kilang yang mencetuskan kontroversi itu.