Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Disangka Rohingya, orang Islam Kaman susah dapat kad pelarian

Masyarakat Kaman di negara ini mengeluh sukar mendapatkan kad pelarian di Malaysia kerana disalah faham sebagai pelarian Rohingya, yang juga dari negara sama, Myanmar.

Pengerusi Komuniti Islam Arakan Kaman Malaysia Mohd Zakirhussein Mohd Ali berkata kerana disalah faham sebagai Rohingya, mereka tidak dapat melepasi ujian yang dijalankan dalam bahasa etnik itu.

“Benar kami juga adalah orang Islam di Myanmar yang dibunuh dengan kejam di sana, tetapi bahasa yang digunakan kami dengan mereka (Rohingya) berbeza.

“Jadi bila mendaftar untuk kad UNCHR (Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian), mereka mengatakan kami tidak layak kerana tidak fasih berbahasa Rohingya,” jelasnya.

Mohd Zakirhussein Mohd Ali

Mohd Zakirhussein berkata kira-kira 700 etnik Kaman di Malaysia menghadapi masalah itu.

Mohd Zakirhussien yang merupakan seorang penulis blog di Rohingya Blogger berkata, isu itu telah dibincangkan bersama pihak UNCHR selama setahun namun masih tiada tindakan.

“Saya sudah berjumpa dengan pihak mereka tapi kami melihat tiada apa perubahan yang dilakukan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia juga turut meluahkan rasa kesal terhadap tindakan UNCHR yang melabelkan mereka sebagai orang Rohingya.

“Disebabkan kekeliruan yang bermula dari pihak UNCHR, kami terpaksa berdepan dengan masalah ini.

“Ketiadaan kad UNCHR menyukarkan kami untuk tinggal di Malaysia kerana tiada dokumen yang mengesahkan kami sebagai pelarian,” tambah Mohd Zakirhussein.

Dia sendiri telah memohon kad itu sejak 2014.

Ribuan etnik Rohingya dan Kaman dilaporkan lari meninggalkan Myanmar untuk menyelamatkan diri dakwaan penindasan dan kekejaman ke atas mereka.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi UNCHR berkaitan perkara ini.

Lihat Komen
ADS