K’jaan bentang RUU kembalikan Sabah, Sarawak sebagai rakan Semenanjung
PARLIMEN l Kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji pilihan rayanya untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung apabila membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan itu di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu untuk bacaan kali pertama di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
Beliau berkata bacaan kali kedua RUU tersebut akan dibentang pada persidangan kali ini.
RUU itu bertujuan menggantikan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan untuk menyatakan semua negeri yang membentuk Persekutuan dengan mengembalikan, dengan ubah suaian, kedudukan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan semasa pembentukan Malaysia pada 1963.
Menurut huraian RUU itu, pindaan itu dibuat selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia (MA63) yang dimeterai pada 1963 selain memenuhi aspirasi dan harapan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta rakyat kedua-dua negeri.
Pindaan tersebut dalam apa-apa cara tidak mengubah fungsi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di bawah konsep federalisme.
Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas, Pakatan Harapan antara janji utama dalam manifestonya adalah untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak.
Sebagai latar belakang, apabila Malaysia dibentuk melalui Perjanjian Malaysia 1963, Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memasukkan definisi negeri-negeri persekutuan terdiri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, serta Singapura (ketika itu).
Bagaimanapun pindaan Perlembagaan pada 1976 menyenaraikan Sabah dan Sarawak termasuk dalam negeri Persekutuan sehingga sekarang.
Terdahulu sebelum Liew membentangkan RUU tersebut, ada kalangan anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak menuntut agar pembentangan tersebut ditangguhkan dan ditarik balik buat masa ini.
Anggota Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mula membangkitkan isu tersebut meminta agar rundingan berhubung pindaan itu dilakukan terlebih dahulu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan DUN Sarawak serta Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (JPP).
“This is a crucial amendment (dengan izin), ia bukan sekadar perubahan dari segi memasukkan Sabah dan Sarawak dalam dua perkataan, ia mempunyai pelbagai implikasi dari segi instrumen dan undang-undang,” katanya.
Anggota Parlimen Keningau Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang turut menuntut pembentangan RUU ditarik balik pula merujuk kepada peraturan mesyuarat dewan Perkara 34 (1) yang membawa maksud “sesuatu usul atau pindaan jika diminta oleh pencadangnya boleh ditarik balik sebelum dikemuka bagi diputuskan oleh mesyuarat”.
Anggota Parlimen Bera yang merupakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa RUU berkenaan tidak membawa sebarang makna, bahkan seolah-olah mempermainkan undang-undang berkenaan.
Sementara itu Anggota Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengesyorkan agar perkara itu dilihat secara holistik dan bukan ‘piecemeal’.
“Kalau sekadar tukar nama dan atur divisyen A dan B (dalam pindaan), ini tidak memadai. Mesti ada sesi libat urus yang lebih meluas,” kata Presiden MCA itu yang turut mempersoalkan kenapa rundingan terhadap pindaan itu tidak melalui JPP.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan RUU itu dibentangkan selepas membangkitkan Peraturan Mesyuarat 48 bahawa notis mengenai perkara itu sudah dimaklumkan semalam.
"Dari segi amalan, memadai untuk hari ini dibentangkan pembacaan kali pertama...isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen boleh dibangkitkan pada sesi bacaan kali kedua, itu amalan kita," tambahnya.
- Bernama






