Purata pertumbuhan pinjaman berkembang 8.74 peratus
PARLIMEN l Pertumbuhan pinjaman yang dikeluarkan institusi perbankan berkembang pada purata 8.74 peratus bagi tempoh 2009 sehingga 2018.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata ini menunjukkan kemudahan pembiayaan tersedia bagi yang ingin mengambil peluang untuk menambah baik kualiti hidup mereka.
Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia diharapkan dapat memberi kelonggaran kepada peniaga yang mahu mendapatkan pinjaman supaya mengelakkan mereka meminjam daripada pemberi pinjaman tidak berlesen atau along, katanya di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata walaupun pelbagai langkah telah diambil bagi membenteras kegiatan peminjaman wang secara haram namun ia masih berleluasa dalam kalangan peniaga dan belia.
Ketika menjawab soalan tambahan Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) sama ada kerajaan merancang untuk memperkenal langkah mengetatkan peraturan kemudahan kad kredit dalam kalangan belia, Lim berkata kementerian itu pernah mempertimbang perkara itu setelah mendapati peningkatan kadar muflis dalam kalangan belia.
“Tapi kita bimbang sekiranya kita tidak beri pinjaman sedemikian, mereka mungkin cari along dan ini akan memudaratkan lagi keadaan kerana masalah along mengakibatkan keluarga berhutang sekeliling pinggang,” katanya.
Beliau berkata, oleh itu, pelbagai program pinjaman khusus bagi golongan belia telah diperkenalkan bertujuan memperkasa ekonomi mereka melalui peluang pekerjaan, peluang melanjutkan pelajaran dan perniagaan.
Antaranya, inisiatif BSN MyHome bagi membantu belia bujang atau sudah berkahwin memiliki rumah pertama secara mudah di samping pemberian biasiswa dan pinjaman pelajaran menerusi pelbagai agensi dengan peruntukan RM3.8 bilion serta RM2 bilion diperuntukan khusus kepada pelajar bumiputera tajaan Majlis Amanah Rakyat, katanya.
Lim berkata, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia juga telah meluluskan rangka kerja untuk platform ekuiti dana penjanaan masyarakat dan pinjaman rakan setara, dengan dana sebanyak RM170 juta telah dijanakan untuk 450 buah syarikat daripada pelbagai sektor melalui platfom ini.
“Hampir 10,000 individu telah melabur melalui platform pembiayaan alternatif ini, di mana 45 peratus pelabur terdiri daripada golongan belia di bawah umur 35 tahun,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah melaksanakan lebih 1,700 sesi pendidikan kewangan mengenai pengurusan kewangan peribadi yang disertai lebih 1.2 juta orang, termasuk golongan belia.
Setakat 2018, AKPK telah membantu lebih 34,000 belia yang menghadapi masalah pembayaran balik pinjaman menerusi Program Pengurusan Kredit dengan menstrukturkan semula pinjaman sehingga mereka berupaya mengawal semula kedudukan kewangan masing-masing, katanya.
- Bernama

